Rabu, 13 Oktober 2010

Najib Sebenarnya Amalkan Islamophobia

Oleh Fazli Othman
MO15KUALA LUMPUR - Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan agung MCA, Ahad lalu cuba menakut-nakutkan orang Cina kononnya PAS akan mengetuai jika Pakatan Rakyat ke Putrajaya menunjukkan sikap hipokrit beliau yang sebelum ini menyatakan ingin membantu Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama untuk mengatasi Islamophobia di negara itu.

"Najib sebelum ini berkata mahu membantu Obama untuk mengatasi Islamophobia tetapi apabila balik kembali ke tanahair, beliau pula membawa ketakutan masyarakat bukan Islam kepada Islam yang mendasari perjuangan PAS.

"Beliau masih membawa hal-hal yang berkaitan dengan Islamophobia, jadi bagi saya ini merupakan agenda Barat dan Najib sedang mengimplimentasikan agenda tersebut untuk menakutkan orang bukan Islam kepada kumpulan-kumpulan Islam," kata Mahfuz yang juga merupakan Naib Presiden PAS.

Menurutnya lagi, ini menunjukkan Umno-Barisan Nasional cukup takut dengan rakyat berbilang kaum di negara kita yang sudah menunjukkan sikap menolak sokongan kepada Umno-BN.

"Sebab itu, mereka asyik membangkitkan isu yang berbaur perkauman dan mereka ini masih lagi dengan pemikiran dan paradigma lama tahun 60an.

"Isu perkauman berlaku di zaman pemerintahan Umno-BN contohnya peristiwa 13 Mei, peristiwa di Kampung Pandan, semua ini berlaku semasa pemerintahan Umno-BN.

"Saya percaya orang Cina tidak akan rasa ketakutan terhadap Pakatan Rakyat termasuk PAS yang mereka lihat lebih menunjukkan sikap untuk memberikan keadilan kepada semua kaum. Begitu juga orang Melayu yang sekarang menganggap ugutan tersebut sebagai cerita dogeng semata-mata," ujar beliau.

Walau bagaimanapun kata Mahfuz lagi, ini merupakan ketakutan pihak Umno-BN yang tidak mempunyai kekuatan lain kecuali menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat untuk kekal berkuasa.

Tiada ulasan: