Ahad, 10 Oktober 2010

Najib: Saya perlukan sangat kemenangan PRU ke-13

THE MALAYSIAN INSIDER


Najib (tengah, bawah) bersama pucuk kepimpinan MCA semasa Perhimpunan Agung Tahunan MCA hari ini. - Gambar oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan serius dengan inisiatif transformasi seperti Model Baru Ekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 dan semua ini tidak berguna tanpa mendapat sokongan rakyat.

“Itu sebab saya nak sangat kemenangan pada pilihan raya umum ke-13.

“Kita tidak boleh mentransformasi (negara ini) kecuali kita mendapat mandat baru (daripada rakyat) dalam pilihan raya umum ke-13.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha mentransformasikan Malaysia,” kata Perdana Menteri ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-57 di Wisma MCA di sini.

Najib berkata, rakyat Malaysia keturunan Cina bukan pendatang sebaliknya merupakan warga setia negara ini.

Kata-kata hinaan dan sentimen negatif seperti itu perlu dikikis, kata Najib yang juga Presiden Umno dipetik Bernama.

“Saya setuju dengan anda bahawa kaum Cina Malaysia tidak boleh digambarkan sebagai kaum pendatang.

“Itu mungkin bagi beberapa generasi sebelum ini tetapi hari ini, anda adalah warga Malaysia yang setia,” kata beliau yang mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Beliau berkata dengan melihat ke depan, semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan perlu bekerjasama bagi menyumbang ke arah membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara progresif.

Beliau berkata semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh orang-orang tua dahulu perlu diteruskan agar Malaysia akan terus bertambah kukuh dan dapat bersaing di arena global.

“Impian saya agar Malaysia menjadi negara maju abad 21 yang benar-benar berkelas tinggi. Bukan negara sederhana kelas kedua tetapi menjadi antara negara maju yang terbaik di dunia,” katanya.

Najib juga meminta pemimpin MCA, terutama di peringkat akar umbi supaya melipatgandakan kerja dan khidmat mereka bagi menarik semula sokongan rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata selain menjadi suara masyarakat Cina, para pemimpin itu perlu berusaha mendekati rakyat dan berkhidmat dengan jujur daripada menggunakan jalan mudah dengan meminta dana daripada kerajaan pusat dengan menganggap wang dan projek dapat menarik sokongan dan menyelesaikan semua masalah.

“(Dengan memberikan dana) ia terbukti tidak akan berjaya. Rakyat tidak menyokong anda bukan kerana anda memberikan mereka wang tetapi kerana mereka suka atau membenci anda.

“Semuanya dari dalam hati.

“Berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum. Jangan hanya meminta wang untuk projek tapi sebagai pemimpin kita mesti dekat dengan rakyat, jangan memencilkan diri atau sombong. Sentiasa bersedia dan mudah didekati rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kepimpinan MCA perlu berusaha mengaktifkan semula jenteranya di peringkat akar umbi yang disifatkannya sebagai lesu dan hilang motivasi.

Dalam perkembangan lain, Najib juga memuji kepimpinan baru MCA yang dipimpin Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam usaha untuk bergabung dan memulihkan semula parti berikutan krisis dalaman selama setahun setengah.

Ini merupakan kali pertama Perdana Menteri merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA sejak beliau memegang tampuk kepimpinan negara tahun lepas.

Beliau juga menyifatkan perhimpunan itu sebagai penting dan signifikan kerana ia boleh dianggap sebagai satu persidangan untuk memulakan titik pembaharuan dan pemulihan MCA.

“Tak ada permintaan lain bagi saya selain untuk melihat sebuah MCA yang kukuh dan berkesan. Dan hari ini, saya boleh berkongsi keyakinan dan optimis yang amat tinggi di sini kerana saya melihat bahawa kepimpinan baru telah muncul sebagai sebuah pasukan bagi mengukuhkan parti.

“Tahniah saya ucapkan kepada Chua kerana memulihkan semula MCA, dan saya puji beliau atas kejayaan itu,” katanya.

Tiada ulasan: