Khamis, 21 Oktober 2010

Najib: Pertahan Putrajaya walau apa terjadi, 2011 tahun ‘unik’



Najib menaikkan bendera Umno pada majlis menaikkan bendera sempena Perhimpunan Agung Umno 2010 di pekarangan Menara Dato Onn hari ini. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR— Meskipun Datuk Seri Najib Razak tidak membayangkan tahun depan sebagai tahun pilihan raya umum tergempar, tetapi memberitahu ahli-ahli Umno hari ini bahawa “tahun 2011 bukanlah sembarangan” tahun.

“Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di dunia. Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka.

“Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka.

“Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis,” kata beliau yang merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan 2010 dengan acara perbarisan dan menaikkan bendera Umno di Dataran Putra sebelum itu.

Banyak pihak membuat spekulasi pilihan raya umum ke-13 tergempar kemungkinan diadakan selepas suku kedua tahun depan walaupun mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013.

Dalam ucapannya bertemakan “Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran”, Najib berpesan bahawa walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti dipertahakan.

“Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan.

“Berpasaklah kepada parti Umno. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional.

“Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!” kata Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN.

Seramai 4,907 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung Umno kali ini iaitu Wanita (793), Pemuda (795), Puteri (776) dan Perhimpunan Agung (2,543).

Najib yang mengetuai Umno selaku presiden sejak Mac 2009 berkata, menjengah ke hadapan pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun.

Oleh itu tegas beliau, ahli-ahli Umno tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa.

“Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti.

“Gerak kerja Umno sebagai sebuah parti siasah mesti berubah.

“Kendati begitu, Umno harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa,” kata beliau.

Jelas Najib, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu Melaka kerana pengkhianatan dari dalam.

“Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.

“Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu.

“Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam,” kata beliau.

Oleh yang demikian kata beliau, amatlah mustahaknya Melayu alaf ketiga dan abad ke-21 dipersediakan untuk eranya.

“Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada.

“Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek,” kata Najib yang Sabtu lalu menekankan bahawa beliau akan mengusulkan model politik baru bagi Umno.

“Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya.

“Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan,” kata Najib yang turut menekankan bahawa orang Melayu harus menjadi Melayu glokal.

“Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu... seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik.

“Melayu... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu... mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa,” katanya.

Oleh itu kata Najib, beliau sebagai Presiden Umno tidak mahu menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun.

“Saya sebagai Presiden Umno beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta.

“Kita tidak mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang,” kata Najib.

Kata Najib, beliau dengan tegas ingin ingatkan semua bahawa pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran.

“Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran.

“Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya,” katanya.

Najib menasihat bahawa demi membina masa depan dan terus mendaya orang Melayu, Umno harus melalui tiga fasa pemulihan.

“Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi.

“Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu.

“Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya,” katanya.

Tiada ulasan: