Ahad, 24 Oktober 2010

Najib: Kuasa politik mesti di tangan Umno walaupun hak Melayu sudah ‘terkunci’


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan walaupun hak kepentingan orang Melayu dan Bumiputera sudah termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan, namun kuasa politik perlu berada dalam genggaman Umno supaya ia tidak dicabar oleh mana-mana pihak khususnya Pakatan Rakyat.

Ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2010, Presiden Umno (gambar) itu berkata, kepentingan orang Melayu dan Bumiputera akan terus diperjuangkan oleh parti Melayu terbesar itu.

“Kepentingan orang Melayu dan Bumiputera sudah terkunci dan tersimpul rapi dalam Perlembagaan yang tidak boleh dipinda oleh mana-mana pihak tanpa persetujuan Raja-raja Melayu.

“Malah saya tidak nampak Raja-raja Melayu akan meminda Perlembagaan.

“Namun ada juga pihak (pembangkang) yang suka pusing, mereka kata kalau sudah terkunci mati tidak perlu lagi Umno berkuasa kerana ia sudah dijamin dalam Perlembagaan,” kata beliau sambil menambah ia sebagai pandangan yang tidak benar sama sekali.

“Walaupun terkunci rapi, tapi kuasa politik perlu ada di tangan Umno untuk terus memperjuangkan orang Melayu,” kata Najib yang juga Perdana Menteri.

Beliau berkata pembangkang seolah-olah tidak mengerti apabila diberitahu bahawa Putrajaya akan terus dipertahankan daripada mereka.

“Di akhir ucapan, saya ada cakap, Putrajaya harus dipertahankan, apa mesej itu? Adakah mereka benak atau bangang, saya tanya kepada isteri saya apa maksud bangang dan dia cakap bodoh tahap paling rendah.

“Mereka (pembangkang) faham tapi buat-buat tak faham, inilah pembangkang yang suka pusing,” katanya.

Dalam ucapan dasarnya yang disampaikan kelmarin, Najib berkata:

“Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan.”

“Berpasaklah kepada parti Umno. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional.

“Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!” kata beliau.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat selain menyifatkan ucapan Najib itu sebagai satu bentuk ugutan dan penghinaan terhadap demokrasi menekankan, kenyataan Presiden Umno dan Pengerusi BN itu menunjukkan hak orang Melayu dan Bumiputera tetap akan terpelihara meskipun Umno-BN sudah tidak lagi menerajui kerajaan pusat.

Dalam ucapan penutupnya, Najib yang juga Perdana Menteri keenam berkata, agenda orang Melayu akan terus diperjuangkan oleh Umno dan minta supaya isu Perlembagaan Persekutuan tidak lagi dibangkitkan.

“Soal Perlembagaan ini jangan dibangkitkan lagi, kita terus ke depan. Tutup buku.

“Agenda Melayu akan terus diperjuangkan Umno, ia memang akan diperjuangkan oleh kita.

“Dalam Umno, MCA dan MIC mesti tegakkan keadilan sosial dalam negara,” katanya.

Menurut Najib, perjuangan Umno selama ini memungkinkan banyak perkara terjadi bukannya disebabkan oleh parti lain.

“Inilah keindahan Umno, cuma kita tak pandai nak cerita, tak pandai bawa cerita. Kita kena jual cerita.

“Kita mesti war-warkan (hebahkan) di semua tempat bahawa ini perjuangan Umno bukan orang lain,” kata Ahli Parlimen Pekan ini.

Tiada ulasan: