Selasa, 5 Oktober 2010

Mustaffa: Perkasa jangan sandiwara, jadi batu api lagakan PKR

TERKINI

PETALING JAYA — Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mustaffa Kamil Ayub mengingatkan Perkasa supaya tidak menjadi “batu api” antara beliau dan Azmin Ali dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti itu.

“Sekiranya Perkasa mahu melihat saya bersengketa dengan saudara Azmin dan Zaid Ibrahim (Datuk), saya nak tegaskan bahawa seluruh pemimpin PKR matang dalam menangani polilitik busuk Perkasa-Umno ini,” kata beliau pada sidang media di sini tengah hari ini.

Sehubungan itu Mustaffa yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR berkata beliau percaya ahli-ahli dan pemimpin parti tidak akan terperangkap dengan usaha Perkasa yang cuba untuk melaga-lagakan mereka.

“Sebab itu saya minta Perkasa supaya menghentikan politik perkauman eksterm.

“Hentikan sandiwara perkauman yang bertujuan untuk menjatuhkan imej PKR,” katanya.

Semalam, Perkasa yang kecewa dengan kenyataan Azmin yang mengaitkan pertubuhan itu dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menggesa ahli-ahlinya tidak mengundi naib presiden itu yang turut bertanding jawatan timbalan presiden PKR, sebaliknya meminta supaya memilih Mustaffa.

Ketua Pemuda Perkasa Arman Azha Abu Hanifah (gambar) berkata Mustaffa adalah calon paling layak bagi jawatan timbalan presiden kerana latar belakangnya dari Abim.

“Mustaffa dari Abim, beliau mempunyai agenda Islam dan berjuang untuk kebaikan orang Melayu... Azmin di sebelah lain tidak berminat untuk memperjuangkan kepentingan komuniti orang Melayu,” kata beliau.

“Azmin hanya sesuai untuk jadi budak kopi Anwar,” kata Arman yang kecam Azmin berhubung kenyataannya ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan cabang PKR Gombak kelmarin.

“Saya tidak menolak sejak kebelakangan ini Perkasa yang diasaskan Datuk Ibrahim Ali ini terdapat beberapa pemimpin Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berusaha menghancurkan permuafakatan yang diperjuangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya berpendirian Datuk Seri Anwar dan seluruh pemimpin parti tidak akan berkompromi dengan api perkauman yang ditiupkan oleh Perkasa-Umno ini,” kata Mustaffa yang juga Pengerusi PKR Perak.

Beliau juga menegaskan, PKR adalah parti untuk semua bangsa sambil meminta rakyat untuk menolak anasir ekstrem Perkasa-Umno.

“Oleh sebab itu saya meminta Arman Azha supaya menjelaskan apakah motif di sebalik kenyataannya yang melaga-lagakan saya dan dua orang calon timbalan lain.

“Adakah beliau ikhlas atau ada agenda lain. Kalau ikhlas saya ucap terima kasih.

“Sekiranya beliau marah apabila Azmin mengkritik pentadbiran Tun Mahathir waktu menjadi perdana menteri dulu, sebenarnya saya dan pemimpin parti lain pun marah dengan fitnah yang bertali arus yang menimpa Datuk Seri Anwar sejak 12 tahun lalu,” katanya.

Jawatan timbalan presiden PKR setakat ini dijangka ditandingi oleh Azmin, Mustaffa dan Zaid.

Tiada ulasan: