Sabtu, 9 Oktober 2010

MP BN Batu Sapi maut nahas jalan raya


THE MALAYSIAN INSIDER

KOTA KINABALU — Ahli Parlimen Batu Sapi Edmund Chong dari PBS-BN meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu hari ini.

Mendiang berusia 54 tahun yang memenangi kerusi itu tanpa cabaran pada 2004 mengekalkannya dua tahun lalu.

Chong (gambar) dipercayai menunggang motosikal Kawasaki 750 di Jalan Sembulan-Tanjung Aru membabitkan kereta Mercedez kira-kira 11.40 pagi tadi.

Wakil rakyat ini meninggal dunia dua hari sebelum Parlimen dijadual bersidang.

Kematian ini turut membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-13 ketika negara bersiap sedia untuk menyaksikan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan.

Pada 8 Mac 2008, Chong memperoleh 9,479 undi berbanding calon Bebas Chung Kwong Wing yang mendapat 5,771 undi.

Chong lahir di Sandakan dan merupakan jurutera mekanikal sebelum dipilih sebagai wakil rakyat enam tahun lalu.

Mendiang yang beristerikan Linda Tsen Thau Lin mempunyai empat anak dan beliau juga bendahari agung PBS dan ketua bahagian Elopura.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan pemergian Edmund sebagai kehilangan besar untuk rakyat dan negeri Sabah.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang dedikasi dan komited terhadap tanggugjawabnya sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth, dekat sini.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri berkata beliau dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Edmund dan juga PBS atas pemergian itu.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang turut berada di situ, berkata “kehilangannya adalah amat menyedihkan bagi negeri dan negara terutama PBS. Beliau juga kawan rapat saya.”

Tiada ulasan: