Jumaat, 15 Oktober 2010

MIC bantah idea BN gugur sistem konsensus terima parti baru

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – MIC tidak bersetuju dengan cadangan meminda perlembagaan Barisan Nasional (BN) bagi menggugurkan sistem konsensus menerima anggota baru, kata Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Samy Vellu yang akan melepaskan jawatannya awal Januari depan berkata, partinya akan melahirkan pendirian itu kepada ibu pejabat BN dalam waktu terdekat.

Katanya, MIC akan mencadangkan pendekatan lain yang lebih sesuai untuk menggantikan peruntukan tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat MIC hari ini, Samy Vellu (gambar) berkata, cadangan pindaan yang menyediakan majoriti mudah untuk menerima anggota baru ke dalam BN adalah tidak praktikal.

BN akan mengadakan konvensyennya bulan depan.

“Cadangan ini akan menggantikan sistem konsensus yang telah lama diamalkan BN selama ini bagi membolehkan penerimaan sesebuah parti diterima masuk. Kami membantah idea ini,” kata beliau.

Katanya, MIC yang merupakan antara tiga parti awal yang membawa kepada pembentukan Perikatan dan kemudiannya membawa kepada BN, merasakan peruntukan semasa tidak wajar dipinda.

Samy Vellu juga berkata, partinya tidak akan gembira sekiranya pandangannya tidak dihormati dan diketepikan apabila BN membuat keputusan untuk menerima mana-mana parti baru berorientasikan kaum India ke dalam pangkuan perikatan itu.

Pemimpin yang mengetuai MIC selama tiga dekad berkata, memandangkan masyarakat India di negara adalah kecil, maka hanya perlu ada satu parti mewakili mereka dalam BN.

“Kita tidak harus membahagikan masyarakat India kepada begitu banyak parti politik dan kemudian menerima mereka masuk ke dalam BN.

“Maka, akan ada situasi di mana setiap parti akan membuat tuntutan berbeza masing-masing, dan akhirnya kita akan kekal mencapai apa-apa,” kata bekas Ahli Parlimen dan bekas menteri Kabinet persekutuan ini.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya merasakan pindaan ke atas perlembagaan BN perlu diteliti dengan mendalam.

Katanya, perlembagaan BN yang digunakan pakai sejak lebih enam dekad tidak sewajarnya dipinda dengan begitu mudah tanpa mengambil kesan-kesan mendalamnya.

MIC sebelum ini membantak permohonan kemasukan parti Barisan Progresif India Malaysia (IPF).

Tahun lalu, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak merasmikan Parti Makkal Sakti Malaysia walaupun ia bukan merupakan anggota perikatan itu.

Langkah Najib itu, yang bertujuan mendapatkan kembali sokongan masyarakat India yang lari kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu, menyebabkan MIC tersinggung.

Samy Vellu juga menekankan bahawa MIC akan terus sokongan apa jua pembaharuan dalam BN selagi ia memanfaatkan masyarakat India.

Kata beliau, pengundi-pengundi India meninggalkan BN pada pilihan raya umum 2008 kerana mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dan masalah mereka tidak dilayan.

Jun lalu, Najib berkata, BN akan mengadakan konvensyen BN selepas Perhimpunan Agung Umno bagi membentangkan perubahan dan pembaharuan dalam gagasan itu.

“Untuk ini jawatankuasa percambahan fikiran di bawah Timbalan Pengerusi (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Setiausaha Agung BN (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) dan pihak-pihak tertentu serta wakil parti masing-masing akan dibentuk bagi membolehkan cetusan idea baru supaya memberi input bagaimana boleh memberi pembaharuan kepada BN dalam semua aspek,” katanya.

Konvensyen itu juga akan menggambarkan BN sebagai sebuah parti untuk terus memimpin negara dan tidak bersandar kepada kejayaan pada masa lalu semata-mata.

Tiada ulasan: