Isnin, 4 Oktober 2010

MB Selangor kekal ketua cabang Kuala Selangor, majoriti 427 undi



Tan Sri Khalid Ibrahim
KUALA LUMPUR — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berhadapan siri 'serangan' dan 'tekanan' ke atas kepimpinannya sejak awal tahun ini berjaya mempertahankan kerusi ketua cabang Kuala Selongor yang keputusannya diumumkan awal pagi ini.

Bekas pengerusi PKR Selangor ini memperoleh 772 undi untuk menewaskan dua pencabar lain.

Majoritinya 427 undi walaupun dilihat 'bekerja keras' untuk mempertahankan kerusinya.

Seorang pencabar telah menarik diri saat-saat akhir sebelum pemilihan.

Kuala Selangor antara 34 cabang terakhir yang mengadakan pemilihan kelmarin dan semalam menjadi tumpuan selepas ia berhadapan dengan tindakan 11 ahli jawatankuasa meletakkan jawatan serentak awal tahun ini dan dianggap 'lumpuh'.

Bagaimanapun Khalid menafikan cabang PKR Kuala Selangor itu telah dibubarkan ekoran tindakan mereka.

Julai lalu kedudukannya sebagai pengerusi PKR negeri pula digantikan dan diambil alih oleh Naib Presiden Azmin Ali agar beliau boleh memberi tumpuan sebagai menteri besar.

Awalnya Khalid berdepan dengan pertandingan empat penjuru bagi mempertahankan jawatan ketua cabang PKR Kuala Selangor dalam pemilihan yang diadakan semalam — hari terakhir pusingan awal mesyuarat agung tahunan dan pemilihan cabang.

Selain Khalid, tiga lagi nama yang mengesahkan pencalonan mereka ialah bekas Ketua Wanita PKR Kuala Selangor Fauziah Sulaiman bekas Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor Mazli Saring dan bekas guru Muhammad Kamil Vaanan Abdullah.

Mazli memperoleh 122 undi dan Kamil pula 345 undi.

Undi rosak sekitar 202.

Sebelum ini Mazli pernah memberitahu bahawa keputusan untuk bertanding merebut jawatan ketua cabang dibuat bertujuan memperbaiki beberapa perkara yang tidak betul yang sedang berlaku dalam pimpinan sekarang.

Beliau berkata antara perkara yang perlu diperbetulkan ialah isu Mesyuarat Agung PKR Kuala Selangor pada Mac lepas yang didakwa tidak sah kerana tiada notis pemberitahuan yang sewajarnya diberikan manakala penyata tahunan yang dibentang tidak mengikut peraturan.

Muhammad Kamil berkata,beliau bertanding untuk membuktikan demokrasi masih wujud dalam PKR.

Seramai 6,218 ahli PKR di bahagian berkenaan layak mengundi pada pemilihan kali ini dan sekitar 1,400 orang keluar mengundi semalam.

Terdahulu ketika ditemui wartawan, Khalid berkata beliau akan mengumumkan esok sama ada akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden PKR atau tidak.

Setakat petang semalam, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini telah mendapat empat pencalonan untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu berbanding Azmin Ali yang dilaporkan telah menguasai 102 pencalonan, Datuk Zaid Ibrahim (37), Mustaffa Kamil Ayub (17) dan Tian Chua (lima).

Empat pencalonan sudah cukup untuk bertanding di peringkat pusat.

Setakat ini Azmin, Zaid dan Mustafffa dilihat sebagai calon timbalan presiden PKR.

Menteri Besar Selangor berkata, beliau menolak pencalonan untuk jawatan timbalan presiden daripada cabangnya kerana mendapati Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail turut dinamakan untuk jawatan itu.

Khalid menjelaskan beliau telah meminta supaya cabangnya Kuala Selangor mencadangkan Dr Wan Azizah sebagai presiden tetapi sebaliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipilih.

Cabang itu mencalonkan Dr Wan Azizah ke jawatan timbalan presiden.

Dalam pada itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin memenangi persaingan ketua cabang PKR Ampang, yang keputusannya juga diketahui awal pagi tadi.

Tiada ulasan: