Sabtu, 9 Oktober 2010

Mayat 3 mangsa terakhir pelanggaran bot ditemui

BERNAMA

LUMUT: Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menemui tiga mayat nelayan terakhir yang hilang dalam nahas apabila bot pukat jerut mereka dilanggar sebuah kapal dagang di Kuala Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor, Khamis lalu.

Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan, berkata mayat tekong bot yang dikenali sebagai Kee Teck Huat, 47, dari Sungai Lang, Sabak Bernam, ditemui pada 7.20 pagi tadi kira-kira 12.2 batu nautika dari pantai Sungai Besar, Selangor.

"Kira-kira 8.40 pagi pula, anggota PGM telah mengesan mayat kelima dikenali sebagai Lim Lian Sy, 28, berasal dari Bagan Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam kira-kira 12.5 batu nautika dari pantai Bagan Nakhoda Omar," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa terakhir ditemui pada 9.55 pagi kira-lira 13.95 batu nautika dari pantai sama, yang dikenali sebagai Kee Cheng Chong, 59, dari Taman Cemerlang Tiga, Hutan Melintang, Hilir Perak dekat sini.

"Kesemua mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam untuk menjalani bedah siasat," katanya yang telah mengarahkan operasi di lokasi kejadian ditamatkan pada 12.30 tengah hari.

Tiada ulasan: