Selasa, 5 Oktober 2010

Kepimpinan Gerakan perlu lebih agresif

THE MALAYSIAN INSIDER

IPOH— Kepimpinan Gerakan perlu lebih agresif menangani pelbagai isu-isu yang berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Mengulas keputusan bekas presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik melepaskan jawatan penasihat parti itu kerana kecewa dengan kepimpinan presiden sekarang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Muhyiddin berkata: “Saya fikir kepimpinan Gerakan mengambil berat pandangan Lim (Keng Yaik)... tak sukar nak selesaikan.”

Inisiatif perlu daripada Gerakan sendiri dan tidak perlu campur tangan dari luar, kata beliau ketika ditanya sama ada kepimpinan BN akan berusaha menjadi orang tengah membantu menyelesaikan masalah dalam Gerakan.

“Tidak perlu campur tangan, nanti ada yang fikir Gerakan lemah... kita perlu hormati keputusan mereka (pemimpin Gerakan) daripada sudutparti masing-masing,” ujar beliau kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini,

Dipetik Bernama, beliau juga berkata BN menghormati keputusan yang dibuat oleh Dr Lim sebagai orang lama yang tahu selok belok politik.

“Itu keputusan beliau, kena hormati,” katanya.

Dr Lim, yang menyerahkan kepimpinan parti itu kepada Koh pada April 2007, semalam berkata beliau tidak berpuas hati dengan penggantinya itu yang gagal mengambil tindakan proaktif dalam menyelesaikan banyak isu melibatkan Gerakan walaupun telah diberi pelbagai nasihat.

Mengenai keputusan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menolak jawatan sebagai penasihat parti itu jika beliau bersara kelak yang dijangka pada Januari tahun depan, Muhyiddin berkata keputusan itu perlu dihormati kerana mungkin beliau berasa yakin dengan barisan kepimpinan parti berkenaan.

Ditanya mengenai titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mengingatkan semua pihak agar jangan sekali-kali mempersoalkan kuasa raja dan mempertikaikan hak serta keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin berharap ia diberi perhatian oleh semua pihak.

Katanya, titah yang dibuat oleh Sultan Johor dan beberapa Sultan sebelum ini mengenai perkara itu adalah suara hati Raja-Raja Melayu yang menjadi paying kepada orang Melayu.

Tiada ulasan: