Jumaat, 8 Oktober 2010

Ku Li sukar rampas Galas, kata pengarah pilihanraya PAS


ahalim Oleh Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR: PAS yakin peluang Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas adalah tipis walaupun Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bertanding.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata, keyakinan itu berdasarkan peratusan undi yang diperolehi Ku Li semasa beliau memenangi kerusi Gua Musang semasa Pilihan Raya Umum (PRU12) lalu.

"Walaupun Ku Li memenangi kawasan Parlimen Gua Musang, beliau hanya memperoleh jumlah undi 3,826 daripada DUN Galas berbanding pencabarnya ketika itu Dr Zulkifli Mahamed mendapat majoriti 4,143 undi dan dapat kekalkan pengundi Cina.

"Perbezaan 317 jumlah ini mampu memberi petanda bahawa PAS mempunyai peluang besar untuk menang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS disini hari ini.

Walau bagaimanapun, Halim mengingatkan bahawa indikasi ini mungkin boleh berubah memandangkan Ku Li adalah pemimpin Umno Kelantan yang paling berpengaruh dan mendapat sokongan majoriti masyarakat Orang Asli di kawasan Gua Musang.

"Gua Musang merupakan kubu kuat Umno dan PAS hanya menawan Galas kali pertama semasa PRU12 lalu," katanya.

Namun kelebihan itu katanya tidak akan mematahkan semangat PAS malah parti itu meletakkan keyakinan awal mendapat sokongan pengundi Galas sebanyak 48 peratus.

"Kami meletakkan sasaran mendapat 48 peratus sokongan pengundi.

"PAS akan mensasarkan jumlah sokongan ini meningkat sebanyak tujuh peratus dan mengekalkan pengaruh daripada masyarakat Cina semasa kempen melalui usaha jentera pilihan raya PAS nanti," katanya.

Berikutan itu, Halim yang juga dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Polisi dan Strategi DUN Galas berkata PAS akan menggunakan pendekatan strategi berkempen seperti di Manek Urai tahun lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Mustaffa Ali berkata pihaknya akan bermesyuarat pada minggu depan bagi melihat senarai pendek calon PAS Galas yang akan diberikan PAS Kelantan nanti.

"Kelantan akan hantar senarai pendek nama calon kepada Pusat dan kita akan tunggu masa yang sesuai untuk umumkannya.

"Pengumuman itu akan dibuat oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat di Galas nanti," katanya.

Selain itu, Mustaffa turut yakin Halim mampu menggalas tanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya DUN Galas sekaligus membantu PAS memenangi kawasan tersebut.

Ini berdasarkan kriteria dan kredibiliti Halim yang pernah mengetuai jentera pilihanraya PAS Kelantan pada tahun 1990 sekaligus membantu PAS merampas Kelantan daripada BN.

"Beliau juga pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan paling lama sejak tahun 1998 sehingga tahun 2004," katanya yang juga Penasihat kepada jentera parti.

Tiada ulasan: