Jumaat, 29 Oktober 2010

Ku Li nafi auranya dan Nik Aziz bayangi calon

SINAR HARIAN ONLINE


GUA MUSANG - Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah, menafikan aura beliau dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, membayangi calon kedua-dua parti.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, pertandingan ini adalah di antara calon BN dan Pas, bukan antara beliau dan Menteri Besar Kelantan itu.

Menurutnya, kesihatan dirinya dan Nik Abdul Aziz telah membataskan beliau dan rakannya itu untuk bergerak seperti calon yang berkempen.

”Kami dah tua; sudah tiba masa untuk kami berehat. Pertandingan ini bukan kerana kami, tetapi antara kedua parti,” katanya ketika ditemui media di kediamannya, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sentimen pengundi yang dilihat lebih menyokong beliau daripada calon BN, Ab Aziz Yusoff dan menyokong Nik Abdul Aziz daripada calon Pas, Dr Zulkefli Mohamed.

Ditanya mengenai corak berkempen BN yang dilihat lesu di permulaan kempen Pilihan Raya Kecil DUN Galas, beliau berkata, ia memang berbeza dengan kempen di tempat lain.

Menurutnya, pengundi di Gua Musang lebih menyukai corak kempen secara sederhana, seperti bersua muka dengan pengundi. Disebabkan itulah beliau mahu jentera berbuat demikian.

Semalam, Tengku Razaleigh berkesempatan mengunjungi pusat mengundi Hao untuk bertemu pengundi Orang Asli yang terletak lebih 40km dari Gua Musang dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Tiada ulasan: