Sabtu, 9 Oktober 2010

Ku Li: Kita tengok ‘fenomena Galas 2008’ 4 Nov ini

THE MALAYSIAN INSIDER

SEPANG — Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata sama ada benar atau tidak beliau tiada sokongan majoriti di bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan dapat diketahui pada hari pengundian awal bulan depan.

“Kita tengoklah pada 4 November nanti,” kata beliau yang turut mengesahkan dilantik sebagai pengarah jentera pilihan raya BN, pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus kembali dari London, pagi ini.

Pada sidang media kelmarin, mengambil kira “fenomena” arah aliran undi pada Mac 2008, PAS masih yakin Tengku Razaleigh tidak akan bertanding di kerusi Galas dan pada masa yang sama, parti Islam itu percaya boleh mempertahankan kerusi DUN tersebut.

Bagaimanapun PAS meletakkan pihaknya sebagai ‘underdog’ dalam menghadapi cabaran pilihan raya kecil DUN Galas yang akan berlangsung akhir bulan ini.

“Kami akan turun di Galas dengan 48 peratus sokongan dan 52 peratus sokongan bagi BN,” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Datuk Halim Abdul Rahman yang optimis akan menang di Galas.

“Kami anggap kami sebagai underdog, walaupun kami optimis akan menang dan mempertahankan kerusi, tetapi oleh kerana ini pilihan raya kecil, kami anggap kami sebagai underdog,” katanya.

Tengku Razaleigh yang bertanding di Gua Musang sejak pilihan raya umum 1969, terus mempertahankan kerusinya dua tahun lalu tetapi beliau tewas dari segi undi diperoleh dari bahagian DUN Galas.

Pada 8 Mac 2008, Tengku Razaleigh dicabar oleh calon PAS Zulkefli Mohamed di peringkat saingan kerusi Dewan Rakyat.

Halim yang dilantik sebagai pengarah jawatankuasa strategi pilihan raya kecil DUN Galas berkata, Tengku Razaleigh menerima 3,826 undi dari DUN Galas manakala Zulkefli pula 4,143 undi.

“Maknanya dari segi ini, kalau Tengku Razaleigh jadi calon pun, dari segi... dia sudah kalah di Galas, pengundi di Galas ini... PAS sudah mengalahkan Tengku Razaleigh dengan perbezaan undi 317 undi.

“Jadi fenomena ini, kita tengok tidaklah payah sangat untuk kita tidak pertahankan kerusi ini,” kata Halim yang juga bekas timbalan menteri besar Kelantan.

Mengenai dakwaan PAS bahawa cadangan menamakan beliau sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu adalah tidak wajar selain merendahkan darjatnya, Tengku Razaleih berkata, beliau menghormati pandangan parti Islam itu.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Gua Musang ini memberitahu pandangan Umno juga perlu dihormati parti pembangkang berkenaan.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan berikutan kematian Che Hashim Sulaima, 45, dari PAS, dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian pada 4 November.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Tiada ulasan: