Isnin, 18 Oktober 2010

Ku Li belum mahu umum calon


kuli Oleh Muda Mohd Noor

PETALING JAYA: Pemimpin Umno bahagian Gua Musang belum mengetahui calon BN untuk pilihanraya kecil Galas walaupun telah mengadakan mesyuarat beberapa kali, kata Ketua Wanita bahagian, Senator Datuk Wan Hazani Mohd Nor.

Beliau berkata, Tengku Razaleigh Hamzah belum sedia mengumumkan nama calon BN di Galas.

"Mesyuarat sudah beberapa kali tetapi Tengku Razaleigh tidak sebut lagi nama calon.

"Beliau (Tengku Razaleigh) sudah melawat penduduk kampung tetapi nama calon tidak lagi diberitahu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hazani berkata demikian ketika ditanya siapakah calon BN untuk Galas.

Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang merupakan pengarah pilihanraya BN bagi Galas yang mempunyai kuasa untuk memilih calon.

Beberapa nama disebut-disebut menjadi calon BN termasuk Tengku Razaleigh sendiri.
Bagaimanapun, Wan Hazani mengingatkan BN meletakkan calon yang sesuai di Galas.

"Jika tidak, BN akan kalah kerana pengundi calon dan bukannya parti.

"Pada saya beberapa nama yang disebut oleh pemimpin tempatan Umno tidak sesuai kerana dan tidak perlu diberi peluang bertanding di Galas," katanya.

Pilihanraya kecil Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaiman, akhir bulan lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Oktober sebagai hari penamaan calon dan 4 November hari mengundi

Tiada ulasan: