Jumaat, 29 Oktober 2010

Kredibiliti Saksi, Dr Razali Bergantung Kepada Nota Klinikal

Oleh Suara Keadilan

KUALA LUMPUR - Ketua pasukan pembelaan, Karpal Singh dalam penghujahannya yang bersambung di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pagi tadi menegaskan kredibiliti saksi iaitu doktor pakar Hospital Kuala Lumpur,Dr Mohd Razali Ibrahim sangat bergantung pada nota klinikal yang sepatutnya diserahkan kesaiful2pada pihak pembelaan.

Dalam pada itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zabidin Mohd Diah menetapkan 22 November depan bagi memutuskan sama ada permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan nota klinikal dan laporan kimia, termasuk ujian toksikolgi yang dibuat oleh pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan menepati Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

"Mahkamah Persekutuan sebelum ini membuat keputusan bahawa dalam pra-perbicaraan kes itu, pihak pembelaan tidak berhak untuk dokumen itu.

"Walaubagaimanapun, mahkamah tinggi memaklumkan pihak pembelaan boleh memohon dokumen berkaitan semasa perbicaraan berlangsung.

"Laporan ahli kimia juga tidak boleh dietrima apabila pihak pendakwaan tidak mahu memasukkan laporan toksikologi Saiful sebagai sebahagian daripada bukti walaupun ia dilampirkan bersama laporan ahli kimia itu," ujar beliau.

Karpal dalam penghujahannya turut menegaskan bahawa melalui nota klinikal itu pihak pembelaan akan membuktikan bahawa testimoni Dr Razali bercanggah dengan notanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Peguam Cara II Mohd Yusof Zainal Abiden dalam hujah balasnya mempertahankan bahawa nota klinikal hanya akan diberikan sekiranya saksi memutuskan mahu merujuknya.

Beliau dalam pada itu memberikan perumpamaan seperti dalam kes pembunuhan di mana hanya laporan bedah siasat akhir sahaja yang dikemukakan.

"Setakat ini, tidak ada permohonan daripada saksi untuk merujuk kepada nota klinikal tersebut. Seperti laporan ahli kimia, ianya tidak mewujudkan prejudis terhadap Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujar beliau lagi.

Selepas selesai kedua-dua pihak mengemukakan hujah, Zabidin kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga 24 November, depan.

Semalam, Dr Razali yang memeriksa Saiful untuk mengenal pasti kesan-kesan diliwat memberitahu mahkamah bahawa beliau mendapati rektum pengadu itu "kosong."

Sementara itu, Anwar terus bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk bersama calon KEADILAN, Ansari Abdullah turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan diadakan 4 November ini.

Tiada ulasan: