Rabu, 20 Oktober 2010

Koperal Jenain serah senjata, kurang 21 butir peluru

Aminul rashid Oleh Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Saksi pendakwa hari ini memberitahu mahkamah tertuduh kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah, memulangkan semula senjata dengan kekurangan sebanyak 21 butir peluru.

Penjaga Stor Bahagian Senjata Balai Polis Seksyen 11 Lans Koperal Ismail Daud dalam keterangannya berkata, mengikut prosedur yang ditetapkan setiap anggota peronda bertugas dibekalkan senjata api sub-mesingan Heckler&Koch MP5 (HKMP5) beserta empat kelopak yang mengandungi 100 butir peluru.

Namun beliau mendapati 21 butir peluru telah digunakan Koperal Jenain Subi ketika proses penyerahan semula senjata api sejurus selepas waktu bertugas pada 26 April lalu.

"Setiap kelopak mengandungi 25 butir peluru. Semasa proses penyerahan saya kira balik jumlah peluru yang diserahkan adakah ianya sama dengan jumlah peluru yang dikeluarkan sebelum bertugas.

"Saya dapati peluru dalam tiga kelopak masih penuh, manakala satu kelopak lagi hanya mengandungi empat butir sahaja iaitu kurang 21 butir.

"Kelopak yang mengandungi baki empat butir peluru itu adalah peluru yang terdapat dalam senjata HKMP5," katanya.

Beliau turut memberitahu ,mahkamah ada bertanya kepada Jenain adakah beliau ada melepaskan sebarang tembakan dan berapa jumlahnya.

"Jenain mengaku kepada saya ada melepaskan tembakan tapi tak tahu berapa butir yang dilepaskann" katanya.

Ismail dalam keterangannya juga memberitahu mahkamah tugasnya dalam Bahagian Senjata adalah memastikan setiap pengeluaran senjata selamat diterima dan digunakan, serta memastikan senjata kosong dan tidak berpeluru sebelum diserahkan kepada penerima.

"Setiap rekod penyerahan dan penerimaan senjata serta jumlah peluru yang digunakan dicatatkan dalam buku harian balai.

Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid,15, antara pukul 1.10 hingga 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian, Seksyen 11 disini.

Jenain yang ketika itu bertigas di Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alama dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan didenda jika sabit kesalahan.

Sementara itu di sebelah petang, pakar DNA Jabatan Kimia Malaysia Dr Seah Lay Hong memberitahu mahkamah, hasil pemeriksaan kimia dan DNA mendapati parang itu berkarat dan juga tiada kesan darah mahupun DNA ditemui pada bilah parang.

Parang yang ditemui dalam bonet kereta yang dipandu Aminulrasyid pada malam kejadian itu menjadi salah satu bahan bukti kes (P86) mahkamah.

Polis sebelum ini mendakwa parang itu berkemungkinan dijadikan sebagai senjata oleh remaja terbabit untuk melakukan jenayah.

Selain parang, Dr Seah turut mengecam beberapa bahan bukti milik Aminulrasyid termasuk baju T merah (P72), seluar pendek biru bercorak bunga (P74), spesimen kesan darah (P75) serta bukti lain yang diambil untuk dianalisis.

Namun berlaku sedikit keraguan terhadap bahan bukti P72 dan P74 apabila Dr Seah mendapati kesan bukti DNA pada kedua-dua bahan tersebut adalah lemah.

Ketika disoal balas oleh peguam bela Salim Bashir, Dr Seah tidak menolak kemungkinan berlaku ralat semasa proses mengumpul bahan bukti sehingga boleh menjejaskan hasil siasatan.

"Mungkin kesan darah yang terdapat pada pakaian itu terhidrasi semasa proses pengumpulan bahan bukti, jadi saya tidak dapat menganalisisnya dengan tepat," katanya.

Mahkamah turut mendengar keterangan saksi yang menganalisi darah Aminulrasyid, iaitu Ketua Unit Klinikal Toksikologi Jabatan Kimia Malaysia Dr Shukri Hassan.

Hakim Latifah Mohd Tahar kemudiannya menangguhkan prosiding esok bagi mendengar keterangan saksi daripada pakar patologi dan dua lagi ahli keluarga Aminulrasyid.

Tiada ulasan: