Isnin, 25 Oktober 2010

Khalid tolak spekulasi MB Selangor baru selepas pemilihan PKR

THE MALAYSIAN INSIDER


Khalid Ibrahim
KUALA LUMPUR — Sambil menolak kemungkinan Selangor akan memiliki Menteri Besar baru waktu terdekat, Tan Sri Khalid Ibrahim menjangkakan kedudukan beliau sebagai ketua kerajaan negeri hanya akan “lebih hangat diperkatakan” selepas pilihan raya umum ke-13.

Sehubungan itu, beliau yakin perubahan tidak akan berlaku buat masa sekarang kerana struktur pemilihan Menteri Besar bukan hanya melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi turut melibatkan persetujuan pemimpin utama PAS dan DAP serta perkenan Sultan Selangor.

“Kecuali jika Selangor ini hanya diperintah PKR, memang benar... spekulasi tersebut akan menjadi lebih besar dan tidak mustahil dilaksanakan,” kata bekas Pengerusi PKR Selangor ini menjawab soalan berkaitan spekulasi bahawa teraju jawatan Menteri Besar akan mengalami perubahan dalam waktu terdekat, khususnya selepas pemilihan PKR.

Pakatan Rakyat dianggotai PKR, DAP dan PAS dengan jawatan Menteri Besar Selangor disandang wakil PKR.

“Kalau nak bertukar Menteri Besar (pun), ia hanya akan berlaku selepas itu (pilihan raya umum ke-13).

“Kalau kita kalah atau menang, perubahannya akan berlaku selepas itu,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak memberitahu, “kemungkinan dalam politik jauh lebih banyak daripada kemungkinan yang akan berlaku dalam dunia lain seperti bisnes.”

“Contohnya, kemungkinan seseorang CEO itu akan disingkirkan adalah jauh rendah daripada keadaan sama dalam politik yang sarat dengan pelbagai spekulasi,” kata beliau lagi dalam wawancana khas kepada Sinar Harian keluaran hari ini.

Jawatan Pengerusi PKR Selangor yang disandang Khalid digantikan oleh Naib Presidennya Azmin Ali sejak empat bulan yang lalu.

Azmin bersama Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub kini bertanding jawatan timbalan presiden, yang proses pengundian akan berlangsung mulai Jumaat ini secara berperingkat-peringkat selama tiga minggu.

Khalid yang awalnya memutuskan untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR mengubah pendirian hasil kajian jawatankuasa yang dilantiknya.

Hasil kajian itu mahu beliau mahu memberi tumpuan terhadap usaha mengekalkan pemerintahan PKR di Selangor.

Malah Khalid berkata, keputusannya tidak bertanding jawatan nombor dua itu tidak kena-mengena dengan Azmin dan beliau “tidak terlibat dalam cerita ini.”

Menjawab soalan sama ada penjelasannya itu bermakna peluang Azmin untuk menjadi Menteri Besar samar-samar, Khalid berkata, “kalau nak Azmin sekalipun jadi Menteri Besar Selangor, mesti ada perundingan antara tiga pemimpin utama parti dalam Pakatan Rakyat.”

“Sekiranya ada satu keadaan kerusi PAS melebihi kerusi PKR atau DAP, mereka pastinya mahukan wakil mereka untuk kerusi Menteri Besar.

“Sama ada kita bahagi atau tidak, itu hal lain tetapi ia mestilah ada perundingan.

“Kalaulah ketiga-tiganya bersetuju, barulah nama itu dikemukakan untuk perkenan Sultan,” katanya.

Khalid juga mengakui bahawa oleh kerana begitu banyak andaian, beliu tidak hairan dengan isu pengganti Menteri Besar.

“... bolehlah setakat berbual suka-suka mengenai spekulasi ini,” kata beliau yang menerajui sektor korporat sebelum berjaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Antara lain beliau pernah mengetuai Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Guthrie.

Khalid juga menolak kebimbangan terpaksa berdepan dengan kemungkinan diundurkan daripada terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

“Tak ada, sebab saya masuk PKR bukan mengharapkan perkara (jawatan) seperti itu.

“Saya menjalankan tanggungjawab saya dan tidak ghairah mengejarnya sehingga ada kawan-kawan korporat sebelum ini menyifatkan cara saya lebih kepada mencari rugi daripada membuat untung,” katanya.

Tiada ulasan: