Rabu, 20 Oktober 2010

Khairy: Pemimpin Umno masih takut beri ruang kepada orang muda


3386533446_f04d070342Oleh Muda Muhd Noor

KUALA LUMPUR: Dalam ucapan sulung sebagai Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, masih ramai pemimpin Umno yang ragu-ragu dan takut untuk membuka ruang penyertaan yang lebih luas kepada orang muda.

Dalam ucapan dasar sempena perhimpunan agung pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, ahli Parlimen Rembau berkata, ruang untuk memperkasa dan menghakupayakan anak-anak muda dalm Umno masih lagi sempit.

Katanya, orang muda berharap agar Umno bersikap lebih terbuka kepada Pemuda.

"Didik dan bimbinglah kami, berilah tunjuk ajar dan pedoman agar kami tidak tersilap langkah.

"Anggaplah kami sebagai harapan dan bukan ancaman. Berikanlah juga kami peluang dan kepercayaan; upayakanlah kami untuk memegang dan menggalas tanggungjawab yang lebih berat lagi kerana saya percaya Pemuda hari ini bukan Pemuda yang mengejar jawatan, gila kuasa, tamak projek tetapi kami pendokong harapan, pembela nusa, pencetus semangat dan satria setia," katanya dalam ucapan kira-kira sejam.

Khairy berkata, sebagai parti gerakan massa, Umno memerlukan penglibatan besar dari anak-anak muda di peringkat akar umbi.

Beliau juga menegaskan walaupun generasi perlu diingatkan dengan detik hitam seperti peristiwa 13 Mei, mereak tidak mahu diugut dan dimomok-momokkan dengan ancaman bahawa jika mereka tidak ikut cakap kerajaan, pertumpahan darah antara kaum pada 13 Mei akan berulang lagi.

Katanya, sudah menjadi lumrah jiwa muda, paksaan dalam membuat sesuatu pastinya tidak akab berakhir dengan baik, malah mungkin mengundang pemberontakan.

"Dalam iltizam kita untuk menghayati dan menjuarai aspirasi orang muda, kita juga telah mengusulkan supaya Akta Universiti Kolej Universiti 1971 dipinda bagi membolehkan mahasiswa menceburkan diri dalam politik.

"Apa makna kita memukul canang bahawa orang muda adlah aset penting dan bakal pewaris kepimpinan negara jika hasrat mereka untuk diberikan kebebasan berpolitik kita kekang dan pandang serong?’ katanya.

Tiada ulasan: