Ahad, 17 Oktober 2010

Khairy: Jangan dakwa Pemuda, Puteri hanya tumpu rebut jawatan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Khairy Jamaluddin menyangkal pandangan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa sayap Pemuda dan Puteri parti itu hanya memberi tumpuan terhadap soal perebutan jawatan.

Ketua Pemuda Umno berkata, tanggapan seumpama itu memberi gambaran bahawa kedua-dua sayap berkenaan tidak memberi tumpuan terhadap soal kerja memperkuatkan parti dan pergeraka tersebut.

“Kita tidak boleh menyatakan Pemuda dan Puteri hanya tertumpu kepada soal perebutan jawatan kerana ia seolah-olah memberi gambaran bahawa setiap ahli Pemuda termasuk Ketua Pemuda tidak tumpu kepada kerja dan hanya melihat kepada perebutan jawatan,” katanya.

“Tapi jika beliau berjumpa dan menyatakan bahawa Ketua Pemuda Negeri atau Exco Pemuda tertentu ataupun saya sendiri dilihat hanya tumpu kepada jawatan maka kita boleh menangani masalah sebenar,” katanya.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, sekiranya pandangan Setiausaha Agung Umno dibuat secara umum, dan kalau ada masalah sekalipun “saya tidak tahu di mana hendak mula.”

“Jadi kalau kita ibarat sebagai pesakit dan tidak dinyatakan di mana sakitnya, apa simptomnya, maka doktor itu sendiri mati akal dimana hendak mula.

“Jadi Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung sudah tentu dapat banyak laporan dan saya alu-alukan jika beliau boleh beri secara terperinci barulah saya dapat mengubati kelemahan yang beliau katakan,” kata beliau dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Tengku Adnan berkata, beliau sedih dengan pergerakan Pemuda dan Puteri yang dianggapnya seperti tidak bermaya dan hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata, masalah itu berpunca apabila mereka yang bertanding merebut jawatan dalam kedua-dua pergerakan itu mempunyai matlamat mendapat jawatan dalam kerajaan.

“Saya sangat sedih dengan Pemuda, mereka ini tidak faham mengenai perjuangan parti kerana mereka tidak datang daripada bawah.

“Mereka ingat apabila sudah mendapat jawatan dalam parti, mereka boleh mendapat tempat dalam kerajaan. Mereka ghairah untuk mendapat jawatan.

“Begitu juga dengan Puteri yang menghadapi masalah sama,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda dan Puteri perlu berubah komited dengan perjuangan parti dan bangsa Melayu serta tidak mementingkan diri sendiri.

Beliau mengingatkan kepada ahli Pemuda yang kemenangan dalam parti bukan bermaksud individu berkenaan harus mendapat tempat dalam kerajaan, tetapi keutamaan seharusnya kepada perjuangan parti.

Mengenai soalan sama ada teguran tempoh hari dilakukan secara ikhlas ataupun sekadar satu sindiran secara tidak langsung, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, dalam politik ini beliau berjuang selama 24 jam bersama rakan-rakan dalam Umno.

“Saya selalu mengamalkan pendekatan bersangka baik dalam perkara sebegini.

“Saya mesti pegang kepada pendirian itu dan menganggap ini ikhlas. Mungkin beliau mendapat laporan dan ia datang dari satu pihak.

“Saya sendiri tidak tahu kerana ia tidak khusus. Saya hanya tahu perkara ini melalui media dan beliau tidak ada berjumpa dengan saya memberitahu perkara ini dengan jelas,” katanya.

Khairy menambah, kawan-kawan Pemuda di peringkat akar umbi sudah tentu berasa tidak berpuas hati namun “saya perlu bersabarlah.”

“Ini yang dimaksudkan dengan menjadi Pemuda bila mana kita terpaksa menerima teguran dari orang lama,” katanya.

Namun kata beliau, bagi pihaknya ia jelas di mana tidak ada apa-apa yang boleh dikatakan mereka terlalu tumpu kepada perebutan jawatan.

“Malah dalam kes saya sendiri adalah jelas walaupun tidak ada apa-apa jawatan saya tetap teruskan kerja dan kita tidak pernah merungut, tak pernah lobi atau desak, malah kita terima.

“Saya harap tauladan yang saya cuba tunjukkan pada ahli perlu diamalkan juga.

“Malah saya melihat rakan-rakan Pemuda memang mengamalkan perkara sama dalam program yang dijalankan. Mungkin dilihat mereka tidak dapat nama namun di peringkat kerja bawahan ini adalah Pemuda dan Puteri,” katanya lagi.

Khairy yang dipilih sebagai ketua pergerakan Pemuda tahun lalu berkata yang penting pihaknya tidak mengejar nama dan publisiti.

“Kita tertumpu kepada buat kerja. Biasalah dalam organisasi politik jika hendak disalahkan lazimnya ia dituju kepada orang mudalah,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Khairy menjelaskan apa yang berlaku dalam Pemuda Umno bukanlah krisis seperti yang berlaku dalam PKR hingga perlu membaling kerusi dan sebagainya.

“Ini perkara biasa melibatkan soal pentadbiran, sikap dan sebagainya,” kata beliau sambil menambah pihaknya sudah cukup matang untuk mengakui sekiranya ada perkara yang perlu diperbaiki.

“Namun saya berpandangan adalah lebih baik kita menumpukan kepada perkara yang membina dari membangkitkan perkara ini dalam perhimpunan agung minggu depan,” kata Khairy lagi.

Khairy juga berkata, pihaknya bersikap terbuka kepada apa saja teguran lebih-lebih lagi yang datang dari pimpinan parti.

“Setiausaha Agung adalah satu jawatan yang penting dalam parti dan kita terima teguran serta anggap ia sebagai nasihat dari bapa kepada anak.

“Namun saya melihat anak itu tidak semestinya setuju teguran bapanya walaupun dia menghormati teguran itu.

“Ini kerana kita melihat perkara ini sebagai satu kenyataan yang terlalu umum dan sekiranya ada nasihat yang lebih khusus kami mengalu-alukannya. Tidak ada masalah dan kita terbuka,” katanya.

Tiada ulasan: