Ahad, 17 Oktober 2010

Ketua AMK: Shamsul dicabar Chegubard, Rafizi pula tarik diri

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Pemilihan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyaksikan saingan satu lawan satu selepas Rafizi Ramli yang mengumumkan pendirian mahu membawa sayap pemuda ini ke tahap baru mengubah fikiran saat-saat akhir.

Hari ini, hanya dua orang mengesahkan mahu bertanding jawatan ketua AMK iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam, Rafizi berkata, tiada sebarang perubahan dalam pendiriannya dan akan bertanding jawatan ketua AMK sebagaimana dimaklumkan sebelum ini.

Dalam mesej Twitter hari ini, Rafizi berkata, “saya dan beberapa teman dalam Generasi Reformasi akan menarik diri daripada pemilihan untuk tumpukan usaha menguatkan parti,” katanya.

Hasmi Hashim yang sebelum ini turut menawarkan diri mahu bertanding semula ketua AMK tidak cukup pencalonan dan oleh itu, tidak boleh bertanding ketua sayap muda ini.

Beliau hanya bertanding kerusi Majlis Pimpinan Pusat.

Shamsul Iskandar yang sebelum ini disebut-sebut akan bertanding kerusi naib presiden berkata, keputusan diambil hari ini bukan tindakan pusingan ‘U’.

Justeru, beliau yang terkenal dengan ‘ketua demonstrasi jalanan’ sejak tiga tahun lalu akan mempertahankan kedudukannya.

“Jadi, saya boleh pilih untuk ke kanan atau kiri.

“Ke kanan adalah ke ketua AMK. Jadi saya pilih untuk jawatan ini. Saya harap ahli boleh buat pemilihan terbaik,” kata beliau yang juga seorang peguam.

Badrul Hisham pula memberitahu, “faktanya mudah, kita adalah parti reformasi jadi orang muda perlu ambil peluang untuk lakukan perubahan.”

“Jadi, sempena pemilihan kali ini, saya mengambil peluang untuk tanding jawatan ketua AMK,” katanya lagi.

“Jadi perubahan perlu dilakukan sekarang,” katanya yang juga ketua PKR Rembau.

Tiada ulasan: