Selasa, 12 Oktober 2010

Kes Sosilawati: Tiga suspek termasuk peguam beradik cabar tahanan reman

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Peguam dua beradik dan seorang suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya memfailkan permohonan supaya perintah lanjutan tahanan reman terhadap mereka yang diperoleh pihak polis, disemak semula.

Permohonan itu difailkan peguam Ravi Nekoo pagi tadi di pejabat pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Hakem Arabi & Associates.

Dalam permohonan itu, Ravi menyatakan bahawa berbuat demikian selepas mendapat arahan anak guamnya dan isteri suspek ketiga berhubung perintah yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Ahmad Shakib Ismail pada 8 Oktober bagi membenarkan tahanan mereka dilanjutkan.

Beliau meminta Mahkamah Tinggi menyemak perkara itu mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.

Ketiga-tiga suspek berkata mereka telah ditahan pada 11 Sept di alamat No.109, Jalan cempaka, Taman Seri Teluk Datuk, Banting dan ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan polis berhubung laporan kehilangan Sosilawati dan tiga individu lain.

Ketiga-tiganya dibebaskan sebelum ditahan semula pada 25 September, dan polis mendapat perintah melanjutkan tahanan reman mereka sehingga 2 Oktober bagi membantu siasatan berhubung kehilangan ahli perniagaan warga India, Allal Kanthan Muthuraja.

Reman terhadap mereka kemudian dilanjutkan sekali lagi sehingga 7 Oktober sebelum dibawa di hadapan Majistret Ahmad Shakib pada 8 Oktober di pusat tahanan sementara Bukil Jalil di mana perintah tahanan ketiga-tiganya ditambah tujuh hri lagi bagi membantu siasatan kes kehilangan dua individu lain iaitu Mohd Shafiq Abdullah dan Thevaraj Shanmugam.

Dalam permohonan, Ravi mendakwa pegawai penyiasat ASP Tonny Anak Longgan mengemukakan tujuh alasan mengapa tempoh reman itu perlu dilanjutkan.

Pertama, bagi mencari bukti penglibatan suspek dalam pembunuhan berkenaan dan motif jenayah; kedua, mencari rakan sejenayah dalam kes itu; ketiga untuk mengesan barang kes yang didakwa dilupuskan suspek; keempat, merekod kenyataan mereka, kelima, mengadakan kawad cam; menyiasat urusniaga antara suspek dan kesemua mangsa; dan yang terakhir, menyiasat rakan kongsi suspek yang didakwa terlibat dalam perniagaan batu permata.

Ravi berkata beliau dan dua peguam lagi iaitu Pushpa Ratnam dan Ng See Teong yang mewakili ketiga-tiga suspek, telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan Tonny.

Bagaimanapun, Ahmad Shakib membenarkan permohonan polis dan memerintahkan tahanan reman ketiga-tiga suspek dilanjutkan sehingga 13 Oktober.

Dalam permohonan untuk semakan, Ravi meminta Mahkamah Tinggi meneliti beberapa isu termasuk kegagalan majistret berkenaan menimbangkan permohonan bagi perintah tahanan reman secara individu berbanding "omnibus".

Ravi mendakwa majistret berkenaan telah terkhilaf dalam mengeluarkan perintah lanjutan tahanan reman tersebut, sementara alasan yang diberikan polis adalah tidak relevan.

Sementara itu, ketika dihubungi, Ravi berkata mahkamah belum menetapkan sebarang tarikh untuk mendengar permohonan itu.

Selain Sosilawati, 47, turut menjadi mangsa pembunuhan kejam ialah pemandu peribadi Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawanagn Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas mereka dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September, polis mengesahkan keempat-empatnya dipukul sehingga mati, mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting, Selangor.

Tiada ulasan: