Khamis, 28 Oktober 2010

Kes nafkah: AC Mizal ke penjara, denda RM1,500

THE MALAYSIAN INSIDER


Shafnie Zainuddin menuntut nafkah daripada bekas suaminya. – Gambar ihsan limauais.com
KUALA LUMPUR– Pengacara dan pelakon AC Mizal dipenjara 25 hari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat hari ini selepas didapati bersalah ingkar perintah mahkamah membayar tunggakan nafkah anak berjumlah RM50,000.

Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah turut memerintahkan pengacara itu didenda RM1,500 selepas mendapati beliau melanggar dan menghina mahkamah kerana gagal mengemukakan akaun tahunan syarikatnya.

Permohonan terhadap bekas pengacara Akademi Fantasia dikemukakan oleh bekas isterinya, Shafnie Zainuddin.

Ia berhubung kes komital atau perintah memenjarakan yang difailkan oleh Shafnie kerana menghina mahkamah selepas gagal membayar nafkah anaknya seperti yang diperintahkan.

Bagaimanapun laporan Berita Harian Online menyebut, AC Mizal tidak dipenjarakan selepas akur dengan membayar nafkah tertunggak RM9,800 dan denda RM1,500.

AC Mizal berkahwin dengan Emelia Rosnaida kemudian.

Shafnie dan AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum disahkan bercerai pada 17 Oktober 2001.

Dalam permohonan mengubah tuntutannya awal bulan ini, Shafnie yang diwakili peguam syarie, Mohd. Ridhwan Husin menuntut agar jumlah RM300 sebulan bagi dua orang anak diubah kepada RM3,770 sebulan.

Ia merangkumi makan minum bulanan sebanyak RM400, pengangkutan (RM240), insurans pendidikan (RM1,000), pembantu rumah (RM200), pengajian al-Quran (RM280), dana amanah pendidikan (RM1,000) dan sewa atau ansuran rumah (RM650).

Selain itu, dia meminta perbelanjaan tahunan berjumlah RM9,000 yang merangkumi pakaian (RM3,000), perubatan (RM1,500), yuran sekolah atau tuisyen (RM500), aktiviti kokurikulum (RM1,000) dan hiburan serta percutian (RM3,000).

Selain kes itu, mereka mempunyai satu lagi kes yang melibatkan isu tunggakan nafkah dua anak mereka yang berjumlah RM50,000 di mahkamah yang sama.

Tiada ulasan: