Isnin, 25 Oktober 2010

Kes liwat: Ada laporan perubatan awal ke atas Saiful, kata saksi



Anwar Ibrahim (tengah)

KUALA LUMPUR — Pakar bedah Razali Ibrahim hari ini mendedahkan terdapat laporan perubatan awal berkenaan aduan Mohd Saiful Bukhary Azlan - sekali gus mengejutkan Mahkamah Tinggi yang sedang mendengar kes liwat melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Cara Kanan II Datulk Yusof Zainal Abiden juga kelihatan terkejut dengan keterangan Razali.

“Ini kali pertama saya mendengar perkara ini,” kata Yusof ketika prosiding pagi ini.

Ketika disoal balas oleh peguam utama Anwar Karpal Singh, doktor itu berkata, terdapat laporan awal yang memperincikan pemeriksaan perubatan ke atas Saiful yang dibuat antara 28 Jun dan 13 Julai 2008.

Pada 13 Julai, Razali dan dua rakannya dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) - Dr Khairul Nizam Hassan dan Dr Siew Sheue Feng — telah menyatukan nota-nota pemeriksaan mereka ke atas Saiful — yang telah pun diketengahkan di mahkamah sebagai bukti kes.

Bagaimanapun Razali berkata beliau tiada laporan itu dengannya buat masa sekarang.

Justeru, Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah mengarahkan prosiding ditangguhkan sementara bagi membolehkan Razali mendapatkan dokumen kontroversi itu daripada HKL.

Seorang lagi peguam pasukan Anwar, Sankara Nair memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa perbicaraan sudah tentu tidak terganggu hari ini sekiranya pasukan pembelaan diberikan dokumen-dokumen penting terlebih awal.

“Pemeriksaan telah dilakukan pada 28 Jun, kami andaikan bahawa beberapa nota telah pun diambil, sejarah perubatan (juga) diambil. Temu bual (dengan Saiful) sudah tentu telah diadakan.

“Berdasarkan pada pemeriksaan, ‘B’ seharusnya telah disediakan,” kata Sankara merujuk kepada laporan awal kontroversi itu.

Peguam ini menekankan, pada laporan 13 Julai, hanya dua baris sejarah perubatan Saiful disebutkan.

Oleh itu tambah beliau, laporan awal diperlukan untuk membuat perbandingan dalam menentukan sama ada apa-apa tertinggal dalam laporan perubatan terakhir, yang dikemukakan kepada mahkamah.

“Jika diberikan kepada kami terlebih dahulu, isu ini sudah pasti tidak timbul,” kata Sankara lagi.

Kata beliau, pasukan mereka akan mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani perkara-perkara lain yang memberi kesan ke atas urutan proses mengemukakan soalan nanti.

Selepas kembali ke mahkamah kira-kira satu setengah jam kemudian, Yusof mengumumkan bahawa pegawai penyiasat memerlukan lebih banyak masa untuk mencari laporan asal perubatan pertama.

Pendakwa raya menambah, mereka telah mengemukakan salinan laporan pertama yang tidak ditandatangani, daripada patologi forensik HKL Dr Siew, dan boleh mengemukakannya terlebih dahulu.

Bagaimanapun pasukan pembelaan membantah keras.

“Salinan yang tidak ditandatangani tiada apa-apa kesan,” kata Karpal.

“Saksi memberitahu adanya satu salinan yang ditandatangani oleh kesemua tiga doktor,” kata Karpal.

“Itu yang kami mahukan,” tegas beliau.

Ekoran itu, Zabidin kemudian menangguhkan prosiding sehingga 9 pagi esok.

Anwar, Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tiada ulasan: