Jumaat, 22 Oktober 2010

Kes Kugan: Nasib konstabel ditentukan 3 Dis.

BERNAMA


PETALING JAYA, 22 Okt – Nasib Konstabel V. Navindran yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tahanan polis, A. Kugan akan ditentukan Mahkamah Sesyen pada 3 Disember ini, sama ada diarah bela diri atau dilepaskan daripada pertuduhan itu.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abaszafree Mohd Abbas dan peguam bela Datuk P.M.

Nagarajan yang mewakili tertuduh bersetuju dengan tarikh itu.

Prosiding bicara itu yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Azlina Rasdi berlangsung selama 25 hari, bermula 18 Februari lalu dan mengemukakan 24 saksi pendakwaan.

Navindran, 28, didakwa atas dua tuduhan yang mengakibatkan kecederaan parah ke atas Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di bilik soal siasat D9, balai polis Taipan, USJ, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 4 petang pada 16 Januari tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: