Selasa, 26 Oktober 2010

Kes dadah: Mahkamah tentukan nasib Ameng Isnin depan

BERNAMA

KUALA LUMPUR– Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan Isnin depan untuk keputusan kes penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, terhadap tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan tarikh itu selepas peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman yang mewakili Ameng dan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias mengemukakan hujahan bertulis masing-masing.

Bagaimanapun penyanyi itu tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 12 Mei lepas, Ameng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 3.45 petang 2 April lepas.

Dia yang diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Pada 7 September lepas, mahkamah memerintahkan Ameng, 42, membela diri atas tuduhan itu.

Di luar mahkamah, Kamarul Zaman memberitahu pemberita, hujahan bertulisnya menyatakan mengenai terdapat konspirasi yang dibuat oleh bekas isteri Ameng iaitu Zaidah Awang atau lebih dikenali sebagai A. Aida bersama suaminya ASP Suffian Sulaiman bertujuan untuk merosakkan kerjaya anak guamnya.

“Pada 6 April lepas, anak guam saya hadir bagi memberi kenyataan berhubung kes ugutan yang dibuat oleh bekas isterinya di Balai Polis Setapak, namun selepas memberi kenyataan itu, dia terus dibawa ke Balai Polis Sentul untuk menjalani ujian saringan awal air kencing,” katanya.

Kamarul Zaman turut menyatakan pihak pendakwaan gagal mematuhi prosedur mengikut Seksyen 339 Kanun Acara Jenayah di mana laporan patologi yang mengesahkan anak guamnya positif dadah tidak diserahkan 10 hari sebelum pertuduhan, tetapi diserahkan pada hari pertama perbicaraan.

Oleh demikian, laporan patalogi itu tidak boleh diterima sebagai keterangan di mahkamah.

Sementara itu, Siti Hajar dalam hujahan bertulisnya menyatakan terdapat keterangan oleh saksi pertama iaitu Sarjan Halimi Jarkasi bahawa laporan patologi telah diserahkan kepada Ameng sebelum kesnya dituduh di mahkamah.

“Sarjan Halimi dalam keterangannya tidak menyatakan tarikh diserahkan laporan itu kerana beliau tidak mengingatinya, sebaliknya beliau ada menghubungi tertuduh untuk datang mengambil laporan itu di Balai Polis Sentul,” katanya.

Siti Hajar turut menyatakan bahawa pihak pembelaan sengaja menimbulkan isu konspirasi yang mengaitkan bekas isteri tertuduh dalam kes ini, sedangkan semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan isu tersebut tidak timbul.

Selain itu, Siti Hajar turut mempersoalkan isu mengenai pernyataan palsu yang dikemukakan oleh saksi pendakwaan iaitu Detektif Koperal Norazman Mohamed, Insp Mohamad Nizan Mohamad Nor dan Lans Koperal Mohd Zaidi Azhari semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan.

“Tertuduh dalam keterangan bela dirinya menyatakan bahawa dia ada membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 6 Oktober lepas, tetapi sekiranya saksi-saksi tersebut didapati memberi keterangan palsu, tertuduh sepatutnya membuat laporan berkenaan lebih awal bukannya semasa dia diperintah bela diri,” katanya.

Tiada ulasan: