Sabtu, 16 Oktober 2010

Kerajaan mesti kurangkan defisit belanjawan sebanyak lima peratus - MARC

KUALA LUMPUR: Kerajaan mestilah beransur-ansur mengurangkan defisit belanjawan sebanyak lima peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam beberapa tahun dan pada masa yang sama memberikan gambaran yang jelas tentang bilakah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diperkenalkan, semasa pengumuman Bajet 2011 Jumaat ini.

The Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) berkata pendirian kerajaan mengenai perkara itu mungkin dapat dilihat melalui pelupusan kepentingan-kepentingannya yang terpilih dalam beberapa syarikat dan pengurangan subsidi selanjutnya.

"Kami juga berpendapat kerangka masa yang lebih jelas tentang pengenalan GST akan diumumkan, meskipun pelaksanaannya mungkin lewat sedikit, memandangkan iklim ekonomi yang tidak memberangsangkan sekarang," kata agensi penarafan itu dalam ulasan khasnya mengenai Bajet 2011 di sini semalam.

Ia berkata untuk mempermudah lagi pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP), perlu diadakan insentif fiskal dan bukan fiskal yang mencukupi dalam Bajet.

Dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, kata MARC, kerajaan mungkin memperkenal langkah-langkah untuk memberikan sedikit kelegaan dengan meningkatkan pendapatan boleh belanja pembayar cukai melalui pelepasan cukai yang lebih tinggi bagi mereka yang ada anak yang mengikuti pengajian tinggi, dan pelepasan berasingan bagi caruman pembayar cukai kepada Kumpulan Wang Simpaan Pekerja dan premium insurans.

MARC juga berkata kerajaan mungkin menekankan keperluan, malah memperkenal upah minimum dalam industri-industri terpilih bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing di samping, pada masa yang sama, menarik bakat tempatan.

Sementara itu, bagi meningkatkan daya tarikan negara sebagai sebuah pasaran modal Islam, ia berkata kerajaan mungkin mengambil lebih banyak langkah untuk menambah kecanggihan pasaran modal dengan nasihat Bank Negara Malaysia.

Tiada ulasan: