Selasa, 5 Oktober 2010

Keng Yaik kecewa sikap Koh, tak mahu jadi penasihat Gerakan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Bekas presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik memutuskan untuk berhenti menjadi penasihat parti komponen Barisan Nasional (BN) itu atas alasan sudah kecewa dengan kepimpinan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam menangani konflik dalaman.

Dr Lim akan melepaskan jawatannya Rabu ini dengan menulis secara rasmi.

“Beliau (Koh) seorang yang tidak suka terlibat dalam menyelesaikan konflik kerana takut menyinggung orang lain,” kata Dr Lim kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Lim menambah, pendekatan Koh selaku presiden Gerakan telah mencetuskan lebih banyak masalah kepada parti itu.

Koh menggantikan Dr Lim sebagai presiden parti itu yang kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Dr Lim dilihat merujuk kepada masalah dalam Gerakan Pulau Pinang sekarang.

Beliau menyerahkan kepimpinan parti itu kepada Koh pada April 2007 berkata, sebagai presiden beliau perlu memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah.

“Apakah hala tuju parti? Mungkin pengunduran saya ini akan menyedarkan beliau. Apa gunanya memberi nasihat kepada seseorang yang enggan mendengar,” katanya.

Dr Lim berkata sikap Koh yang mahu menjauhi diri daripada masalah telah menyebabkan timbulnya kemelut dalam Gerakan.

Lim menjelaskan bahawa beliau membuat keputusan untuk berundur selepas membaca laporan akhbar bahawa Koh enggan menghadiri mesyuarat agung luar biasa Gerakan Pulau Pinang bagi menyelesaikan isu melibatkan parti di negeri itu, sebaliknya memilih untuk hadir mesyuarat agung MCA pada 10 Oktober ini.

“Di manakah letaknya keutamaan beliau,” katanya.

Dr Lim berkata bahawa setelah menjadi anggota Gerakan selama 36 tahun, beliau amat sedih melihat masalah kepimpinan yang melanda parti itu di Pulau Pinang.

Beberapa anggota Gerakan di Pulau Pinang mahu supaya pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nam digantikan.

“Inilah punca kepada kemelut dalam parti. Ada satu atau dua pimpinan yang cuba mengukur sokongan kepada mereka,” katanya.

Tiada ulasan: