Ahad, 3 Oktober 2010

Kenapa Islam dan Demokrasi Ditakdirkan Senada


an Oleh Anwar Ibrahim

Tidak ada masalah tentang kesesuaian, tidak juga menjadi masalah bagi sesebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam ditadbir mengikut demokrasi berperlembagaan. Dalam kata lain, persepsi bahawa Islam menentang demokrasi dan prinsip-prinsipnya adalah satu anggapan yang salah.

Islam menuntut pengikutnya mendokong keadilan, kesamarataan dan memelihara maruah manusia. Jika teror dan keganasan disebarkan oleh orang-orang Islam atas nama Islam maka itu merupakan masalah individu itu sendiri dan tumpuan hendaklah diberi kepada punca dari perbuatan itu, bukannya Islam.

Dengan menyalahkan Islam tidak akan menyelesaikan masalah selagi punca disebalik kejadian itu tidak ditanggani dan diselesaikan.

Tetapi mereka yang tidak memahaminya berkata Islam bukan sahaja membiarkan kejadian ini berlaku tetapi menggalakkan pengikut-pengikutnya melakukan keganasan ini atas nama jihad. Ini adalah karut.

Tetapi mereka memetik ayat dan surah dari Al Quran untuk menyokong pandangan mereka. Benar, hanya dengan menafsir secara melampau. Sebaliknya, kebenarannya ialah Islam melarang tindakan keganasan dan teror bagi memelihara dan menyelamatkan tubuh badan dan harta benda dengan bersikap sederhana.

"Maqasid al-Shari’ah

Ini boleh disimpulkan dalam doktrin "Maqasid al-Shari’ah", alat yang penting dan signifikan untuk kemajuan masyarakat Islam, malangnya pendekatan ini sering diabaikan.

Sebagai contoh, doktrin jihad mengajak orang-orang Islam mematuhi syariat Islam dengan berbuat kebaikan dan menolak kebathilan, mendokong keadilan, menggalak kebajikan dan membantu mereka yang lemah dan terpinggir. Ia bukan seruan untuk berperang, apatah lagi untuk menghalalkan pembunuhan dan mencetuskan huru hara.

Lebih dari itu, jihad mengajak orang-orang Islam mengekalkan harmoni dan keamanan serta memelihara kesucian nyawa dan harta benda. Jalan yang murni adalah senada dengan kehendak demokrasi.

Tetapi bagaimana dengan pemikiran yang jumud dan rigid dalam berfikir? Jawapannya terletak kepada kesanggupan kita untuk menolak ideologi yang rigid dan mempengaruhi mereka yang memahami agama dengan jumud dan terpisah.

Kebenarannya ialah Islam itu bersesuaian dengan kehendak masa dengan sifatnya yang inklusif. Berdasarkan pemerhatian, kita tahu bagaimana Islam berkembang di Asia Tenggara. Begitu juga Turki, dan walaupun kita tidak kelihatan berlaku di Timur Tengah namun kita harus melihat dari sudut geo-politik di sana.

Kemodenan Islam di Asia Tenggara

Kemodenan Islam di Asia Tenggara mencerminkan penerimaan prinsip kebebasan dan demokrasi dalam menegakkan sesebuah negara. Dari aspek ini, transisi agama kepada demokrasi menolak kefahaman bahawa Islam dan demokrasi adalah tidak serasi.

Adapun, tindakan menyamakan tindakan keganasan dengan Islam, pada realitinya tidak berasas sama sekali. Orang-orang Islam memerintah Sepanyol selama beberapa abad seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah adalah jelas menunjukkan terdapatnya toleransi dan semangat setiakawan di kalangan orang-orang Islam, Kristian dan Yahudi.

Di Asia Tenggara, para pedagang dan ahli sufi menyebarkan agama melalui cara yang lembut dan menarik dan pada sama yang sama, mengekalkan adat resam dan budaya sesuatu masyarakat itu.

Ini menjelaskan kenapa masyarakat berbilang agama dan berbilang budaya dapat hidup aman damai di kebanyakan negara Islam. Hari ini, golongan yang menggalak keganasan dan teror atas nama Islam tidak mendapat tempat dalam masyarakat.

Sebagai contoh, di Indonesia, dalam dua pilihan raya umum yang lalu, di mana rakyat menolak golongan radikal yang bergerak atas tiket jihad. Sekali gus, ia menolak anggapan bahawa demokrasi di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam boleh diperdayakan oleh golongan radikal dan pelampau.

Turki negara contoh

Turki merupakan sebuah negara Islam yang boleh dicontohi jika para pemimpin beriltizam melaksanakan syariat Islam: modernis, moderate, progresif dan bertoleransi dengan keadilan dan peraturan undang-undang sebagai moto untuk mentadbir urus kerajaan.

Referandum rakyat Turki baru-baru ini menuntut perubahan fundamental terhadap perlembagaan untuk memperkukuhkan demokrasi merupakan satu contoh yang baik.

Dalam hal ini, para pemimpin Turki mempunyai sikap yang berbeza berbanding golongan autokrat dan pemimpin kuku besi di setengah negara Islam yang terus menerus menafikan hak demokrasi rakyatnya dengan tindakan-tindakan mereka yang melampau.

Persoalan timbul sama ada benar-benar terdapat kemajuan dalam reformasi politik di dunia Islam selain dari Turki dan Indonesia? Adakah benar masih wujud pemerintahan sistem satu parti atau seorang individu meskipun terdapat tanda-tanda ke arah reformasi?

Walaupun beberapa negara kelihatan menuju ke arah demokrasi sebenar, retorik seringkali mengatasi realiti. Maka negara-negara Islam perlu lebih komited untuk mengamal demokrasi berperlembagaan dan terjemahkannya kepada realiti hidup.

Pemisahan kuasa

Ini boleh dilaksanakan dengan menganjurkan pilihan raya bebas dan adil, memastikan terdapatnya pemisahan kuasa dan menjamin kebebasan individu termasuk penyertaan penuh wanita dalam bidang politik.

Pendakwaan yang bersifat dendam, tahanan melulu, dan penggunaan aparatus kerajaan untuk menutup mulut para penentang hendaklah ditamatkan. Sehingga dan kecuali reformasi-reformasi ini dapat dilaksanakan, titit pertemuan di antara demokrasi dan Islam hanya tinggal bayang-bayang.

Menyentuh proses pendemokrasian itu sendiri, wujud beberapa persoalan yang membimbangkan tentang niat sebenar beberapa kuasa besar Barat. Kita tidak boleh memejam mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia secara terang-terangan di beberapa buah negara dan pada masa yang sama negara-negara itu mengutuk terhadap negara-negara lain yang mencabuli hak asasi manusia.

Kita tidak boleh kata kepada negara tertentu, "beri kami sokongan terdapat penglibatan kami dalam satu peperangan" dan pada yang sama, berkata "kami tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalam negara anda".

"Anda membantu kami, kami membantu anda" mungkin merupakan satu sikap yang baik dalam politik tetapi ianya merupakan satu bentuk pengkhianatan ketika kita menjunjung kebebasan dan demokrasi.

Bagaimanapun, malangnya ini adalah hasil dari pendekatan hipokritikal kepada proses pendemokrasian yang kita ambil, di mana kita masih dapat lihat beberapa masyarakat Islam masih berada di bawah sistem demokrasi yang memalukan. Inilah bentuk kerajaan yang kononnya mengamalkan demokrasi tetapi sebaliknya mencabul keadilan, melanggar hak asasi manusia dan rasuah.

Merampuk khazanah negara

"Demokrasi-demokrasi" ini memperalatkan semua jenis jentera kerajaan dan menyalah guna pendapatan orang awam untuk kepentingan peribadi. Mereka merampuk khazanah negara, memberi tanah komersial yang luas dan sangat berharga kepada keluarga dan kroni serta memperkosa jutaan hektar hujan dara dan menukarnya menjadi tanah terbiar.

Jadi, tekanan kepada demokrasi dan kebebasan bukannya datang dari Islam walaupun kebanyakan mereka adalah orang-orang Islam. Indonesia dan Turki telah mempamer demokrasi, yang bukan hanya boleh diterima tetapi juga penting buat Islam.

Maka musuh Islam tidak mengamalkan demokrasi tetapi sebaliknya mengamal ketidakadilan, rasuah, tamak dan kejahatan. Malahan demokrasi dan kebebasan adalah sebahagian dari kebenaran hakiki yang membezakan manusia dengan makhluk Tuhan yang lain.

Isu sebenar ialah bukan sama ada demokrasi dan Islam itu ditakdirkan bersatu tetapi sama ada mereka yang memegang kuasa di kebanyakan negara Islam mendokong kebebasan dan demokrasi, menghormati undang-undang dan memenuhi tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

Jika ini tidak terjadi, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ianya berlaku. Ini menjadi satu matlamat yang harus kita perjuangkan. *Anwar Ibrahim ialah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Tulisan ini merupakan terjemahan dari teks asal ucaptama beliau bertajuk "Why Islam and democracy are destined to coincide" di Brussels, Belgium pada 28 September lalu.

Tiada ulasan: