Isnin, 11 Oktober 2010

"Keluar dari kepompong perkauman" – Najib


jib Oleh Syed Jaymal Zahiid

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional Najib Tun Razak memberitahu MCA supaya melangkah keluar dari kepompong perkauman dan menggesa mereka berkhidmat bukan hanya untuk masyarakat Cina sahaja.

Gesaan ini dibuat dalam ucapan beliau pada mesyuarat agung tahunan MCA di sini hari ini di mana beliau meminta parti itu menerima pakai agenda nasional berbanding perjuangan untuk keperluan bangsa Cina sahaja.

"Berkhidmatlah untuk rakyat, bukan hanya untuk masyarakat Cina tapi untuk semua bangsa. Jika anda melihat seorang Melayu atau India yang miskin, pergi tolong.

"Saya juga menggalakkan Umno berbuat demikian. Ketika bulan puasa, saya turut memberi bantuan kepada orang-orang Cina dan India……jadi apa salahnya?" katanya dalam ucapan selama 48 minit itu.

Secara halus Najib membidas pemimpin-pemimpin MCA yang ketika kongres ekonomi Cina baru-baru ini menuntut kerajaan membatalkan sasaran 30% ekuiti Bumiputera.

Tuntutan ini menimbulkan kemarahan rakan sejawat BN, Umno yang semakin tidak selesa dengan tuntutan keras supaya dihapuskan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggantikannya dengan keperluan berdasarkan merit.

Tuntutan mereka juga mencetuskan perang mulut di antara Umno dan MCA dan meretakkan hubungan di antara kedua-dua parti komponen itu dalam BN.

Najib mengambil sikap lebih berdiplomasi dan beliau berkata beliau berusaha secara terbaik untuk memperkenalkan dasar-dasar yang lebih inklusif tetapi menghadapi masalah berhubung jawatannya sebagai presiden Umno.

"Saya juga Presiden Umno. Para pemimpin Umno memberitahu saya, lihat, YB hendak memberi itu ini kepada masyarakat Cina, apa yang mereka buat? Adakah mereka memberi respon?" katanya.

MCA secara tidak langsung menyalahkan fahaman rasis Umno kerana terhakisnya pengaruh MCA dan Najib seolah-olah mengakui tentang kebenaran hal ini.

Najib menegaskan bahawa parti MCA perlu "diberi ruang" untuk berjuang bagi kesejahteraan masyarakat Cina dan mendesak MCA supaya melihat kepada kesilapan diri sendiri dalam usaha untuk menawan semula kepercayaan masyarakat itu terhadap BN.

"Anda mesti berterus terang dengan mereka. Beritahu mereka, ini bukan soal masyarakat Cina semata-mata, tapi kecintaan terhadap negara ini, Malaysia yang indah," katanya. Bukan "pendatang"

Bukannya mudah bagi Najib. Dasar-dasar berasaskan kaum dan kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman oleh pegawai- pegawai tinggi kerajaan tidak dapat menyakinkan pengundi Cina.

"Saya tidak bersetuju dengan istilah pendatang," katanya merujuk kepada istilah yang menghina bagi menggambarkan situasi masyarakat Cina.

"Benar, anda datang ke negara ini pada suatu ketika dahulu, tapi itu tiga, empat, lima generasi yang lalu. Sekarang ini, anda adalah warga negara yang taat kepada negara ini," katanya dengan menerima tepukan gemuruh.

Ucapan Najib bertukar kepada nada bertolak ansur apabila beliau mengingatkan kembali perjuangan Perikatan, sebelum BN, di mana para pengasas kemerdekaan bekerjasama tanpa mengira kaum untuk membina negara ini selepas mencapai kemerdekaan.

"MCA boleh memainkan peranan penting dalam hal ini, jika anda mentransformasi minda anda," kata Najib.

Najib menggesa parti itu bekerja keras untuk menawan semula hati penyokong daripada masyarakat Cina di mana beliau menyifatkannya sebagai sebahagian dari pelan kerajaan untuk mentransformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Tiada ulasan: