Jumaat, 22 Oktober 2010

KEDAH KATA PI, SABAH KATA NAHI!

Oleh: AINAL SALIM

SEKALIPUN memenangi jawatan Naib Presiden UMNO, namun Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dimalukan di hadapan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pemerhati daripada Seluruh Dunia di Persidangan UMNO di Bangunan PWTC baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Jerai, Bassori Hassan, dengan penuh keterpaksaan meluahkan ‘ludah dan kahak’ ke muka Shafie namun terkena muka Perdana Menteri yang melantik Shafie sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Bassori dengan lantang berkata, pelantikan Shafie dari Sabah sebagai Pengerusi UMNO Kedah sebenarnya memberikan laluan kepada Pakatan Rakyat untuk terus berkuasa dan menyerang ahli-ahli politik tempatan.

Perwakilan Pemuda Umno dari Kedah ini menggesa agar kepimpinan parti menukar pengerusi-pengerusi perhubungan yang ‘diimport’ dari negeri lain sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Datuk Seri Shafie ini orang hebat, dia mampu menangkan negeri Kedah ini. Tapi kita kena realistik. Sentimen ini dimain-mainkan oleh pembangkang, tak de pemimpin baik dari Kedah sampai kena import pemimpin dari luar?” tanya Bassori yang mendapat tepukan gemuruh para perwakilan daripada Kedah.

Tegas Bassori, bagi pihak Pemuda UMNO Jerai, beliau meminta agar perlantikan Shafie dan semua Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri-negeri pembangkang dikaji semula bagi memastikan BN dapat merampas kembali semua negeri yang dikuasai pembangkang pada pilihanraya umum lalu.

Bassori memberi alasan munasabah dengan berkata mereka yang memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri juga harus mempunyai hubungan yang kukuh dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan istana untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Shafie dilantik sebagai Pengerusi UMNO Kedah bersama dengan dua Naib Presiden lain iaitu Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing menerajui kepimpinan Umno Terengganu dan Pulau Pinang. Manakala Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pula merupakan Pengerusi Umno Selangor dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai Umno Wilayah Persekutuan.

Persoalan yang timbul sekarang, apakah Shafie sedar beliau sudah tidak diperlukan di Kedah dan Pemimpin UMNO Sabah sedang menunggu masa sesuai untuk ‘menyembelih’ kerjaya politiknya; apatah lagi Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman tidak akan memberi laluan mudah kepada Shafie; musuh tradisi yang semakin kental di relung hati.

Usaha Mukhriz Mahathir untuk merampas kembali Kedah daripada PAS mungkin semakin cerah sekiranya Najib melantik beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Shafie terpaksa menjadi Naib Presiden tanpa negeri dan hanya berpuas hati dengan jawatan Ketua UMNO Bahagian Semporna.

Shafie semakin serba salah dan boleh dikatakan tumpas sebelum bersabung di arena politik dengan Musa, walaupun sebelum ini begitu hebat merangka beberapa ‘coup-de-taat’ yang ternyata mandul sehingga kini; tambahan pula Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dianggap sebagai ‘penjajah dan melahap’ peruntukan yang sepatutnya di salurkan ke Jabatan Pembangunan Negeri Sabah (JPNS).

Belumpun menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah, Shafie disifatkan telah mengkendurikan semua peruntukan mega KKLW di bawah konsep NKRA di kalangan kontraktor proksi dan kroninya, terutama adiknya, Haji Mohd Yusof dan Datuk Chris melalui tender terhad setelah memperdaya Najib.

Shafie kini tidak lagi mempunyai ‘Komando’ (I command, you do) kerana sebelum ini Datuk Abdul Rahim Ismail dan Datuk Lajim Haji Ukin merupakan pengikut setia mula memilih haluan masing-masing kerana tidak mahu memperjudikan nasib mereka seperti kebanyakan Ahli Parlimen yang kecewa menunggu ‘Formula 16 September’ gubahan Anwar Ibrahim yang layu sebelum berkembang.

22 ulasan:

evan medhousky berkata...

jika takut sentimen ini dimain2kan oleh pembangkang, kononnya tidak ada pemimpin baik dari Kedah sampai kena import pemimpin dari luar.. bukankah kenyataan sedemikian juga boleh dimain2kan oleh pembangkang? pembangkang juga boleh menggunakan isu ini dengan membuat tuduhan bahawa ahli2 umno tidak serasi dan mula menunjukkan konflik dalaman..

evan medhousky berkata...

pasti ramai ahli umno yang kecewa dengan tindakan Bassori Hassan yang juga saya sifatkan sengaja memberi ruang kepada pembangkang untuk menyerang umno. bukankah perkara ini boleh dibawa ke meja perbincangan secara tertutup? bukankah kerjasama antara ahli sepatutnya menjadi amalan dalam parti? Shafie telah menghulurkan kerjasama tapi pemuda umno membalasnya dengan sengketa.. saya harap PM dan ketua pemuda umno memandang serius perkara ini..

evan medhousky berkata...

jika umno gagal menawan kedah dalam PRU13, itu bukan disebabkan oleh 'pemimpin import' tetapi disebabkan pemuda umno yang sengaja menolak kerjasama antara ahli. 'pemimpin import' tidak akan memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap umno, pembangkang sengaja mempermainkan isu ini kerana mereka takut umno semakin kukuh. yang sebenarnya memberi kesan adalah tindakan pemuda umno yang sengaja menimbulkan konflik dalaman.

Anak Sabah berkata...

Pelantikan Shafie ini sebenarnya keputusan PM Najib. Kedah sepatutnya berurus dengan PM mengenai hal ini.

Anak Sabah berkata...

Lagipun, Shafie dah berputus mahu menyerah balik jawatannya di Kedah.

Tanpa Nama berkata...

mmg sebaiknya kita menggunakan pemimpin tempatan, namun tk ada salahnya juga menggunakan pemimpin import jika ia berkebolehan dan dpt membawa kepada pembangunan dan kemajuan. Shafie menjadi pemimpin UMNO Kedah adalah atas pilihan PM, sebaiknya semua ahli2 UMNO bekerjasama.

Tanpa Nama berkata...

sebarang isu sebaiknya diselesaikan dalam perbincangan. UMNO Kedah juga tidak perlu takut dengan sentimen yang dimainkan oleh pembangkang.

Unknown berkata...

Sungguh memalukan Shafie dalam hal ini. Siapa suruh mengganggu tempat orang lain kan dah kena semula. Memang betul kata Bassori Hassan,ini bukan menguatkan kawasan tersebut tapi menjadi isu bagi pembangkang untuk melemahkan parti dengan pemain import ini. Tidak dinafikan lagi, pembangkang adalah satu parti yang suka mencari kelemahan parti lawan. Maka Shafie adalah kelemahan mereka sekarang.

Leo berkata...

"SEKALIPUN memenangi jawatan Naib Presiden UMNO, namun Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dimalukan di hadapan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pemerhati daripada Seluruh Dunia di Persidangan UMNO di Bangunan PWTC baru-baru ini."

Adakah patut mereka memalukan Shafie di persidangan UMNO. Mereka tidak perlu memalukannya depan orang ramai. Daripada memalukannya, mereka sepatutnya berbincang dengan Shafie mengenai hal itu. Lagipun, PM yang melantik Shafie.

Leo berkata...

Tetapi bagus juga kalau Shafie balik Sabah, boleh juga dia memberi fokus yang sepenuhnya terhadap daerahnya.

Hosie Masie berkata...

Sabah tidak pasti lagi dapat menerima Sahfie atau tidak. Tapi kalau mahu ganti jadi KM sabah itu sungguh mustahil bagi kami. tidak layak lagi. Datuk Musa Aman tetap yang terbaik sekarang.

Unknown berkata...

Sabar sajalah Shafie..balik tumpukan perhatian kepada Semporna..baguslah tu, boleh rehat2 sebentar..

nurfatihah berkata...

Kasihan pula saya tengok Shafie ni. Cukup2 lah hentam beliau. Dia sudah tolong Kedah rampas balik dari pembangkang. Kini jasanya sudah dilupakan secara kasar. Adakah sinonim dengan peribahasa "kacang lupakan kulit?"

Lain kali cakap dengan bahasa yang sesuai. Apa yang dikatakan itu turut secara tidak langsung dirasai oleh PM.

Tanpa Nama berkata...

Shafie sudah tidak dipercayai di Kedah...selepas ni pemimpin mana lagi yg akan kena....sebaik2ny biarlah pengerusi negeri tu orang di tempat tu jg, baru la ada kredibiliti....

langsat berkata...

bukannya salah shafie sekiranya PM dah letakkan dia jadi pengerusi badan perhubungan umno di kedah. cuma tak logik juga kalau orang luar yang diberi jawatan tu...

langsat berkata...

yalah orang luar tak patut masuk campur dalam urusan rumah tangga orang. kalau di tempat sendiri pun dia tak leh urus, inikan pula kawasan orang lain...

langsat berkata...

nampaknya ahli-ahli politik Sabah yang segak dan megah memegang tampuk pemerintahan di SM sekarang ni....semakin lama semakin hilang taring. biasalah kawan ketawa senang di cari, kawasan menangis susah nak cari!

maya berkata...

Kan lebih baik kalau pemimpin tempatan yang menyandang jawatan pengurusi UMNO tersebut kerana ia lebih berkesan.

maya berkata...

Pemimpin import hanya akan menjadi sasaran serangan pembangkang.

mike berkata...

memang patut pun Shafie melepaskan kedah..lagi pun ini adalah saranan dan permintaan dari UMNO kedah sendiri yang dinyatakan oleh Pemuda Umno Jerai.

mike berkata...

"...Perwakilan Pemuda Umno dari Kedah ini menggesa agar kepimpinan parti menukar pengerusi-pengerusi perhubungan yang ‘diimport’ dari negeri lain sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.."

gesaan ini harus dipandang serius oleh pucuk pimpinan parti UMNO..takut akan berlaku 'pemberontakan dalaman' jika dibiarkan sahaja.

mike berkata...

Shafie mengatakan kesediaan beliau untuk berundur namun keputusan terletak di tangan presiden UMNO..cakap macamana pun, kalau presiden tidak setuju maka tiada tindakan akan diambil..oleh itu, terpulang kepada kebijaksanaan presiden mengatasi isu dalaman ini.