Rabu, 20 Oktober 2010

Kedah cadang jadi pusat ilmu dunia

Mohd Ali Hashim

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah bercadang untuk menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah pusat ilmu dunia yang berteraskan Islam dengan menjadikan Kolej Universiti Insaniah (KUI) sebagai ikon dalam pengajian Islam yang akan dirangkumkan bersama dengan pengajian profesional tidak lama lagi.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika berucap pada majlis konvokesyen kolej tersebut, semalam.

Menurutnya, aspirasi ini mampu untuk dijadikan realiti apabila dilihat kepada percambahan pelajar dalam dan luar negara pada kemasukan tahun ini.

Katanya, sehingga ini jumlah penuntut antarabangsa yang mengikuti kursus pengajian mereka di KUI adalah dari 32 buah negara termasuklah pelajar dari Eropah, Rusia, Afrika dan juga Amerika Syarikat.

"Sebagai bukti dalam tempoh dua tahun program di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang yang diperkenalkan ia telah berjaya menarik minat sehingga lebih dari 300 pelajar.

"Selain dari itu Bank Pembangunan Islam atau IDB sedang bekerjasama dengan KUI untuk melancarkan program Ijazah Sarjana Perbankan Islam menerusi e-learning yang akan dilancarkan pada awal 2011 yang akan datang," ujarnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Insaniah berkata, inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah ini adalah sebagai satu usaha bagi menobatkan Kedah sebagai pusat ilmu dunia.

Tambahnya lagi, melalui institusi seperti KUI, ia mampu untuk ditingkatkan sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf dunia dalam bidang pengajian Islam dan juga profesional.

"Kerajaan negeri yakin kerjasama erat dan fokus yang sepenuhnya yang diberikan bagi memartabatkan Kedah sebagai pusat kecemerlangan tamadun Islam akan menjadi realiti yang mampu untuk membawa reformasi bukan saja kepada negara bahkan kepada peringkat global," tegasnya lagi.

Tiada ulasan: