Sabtu, 9 Oktober 2010

JKR Didesak Segerakan Pembinaan Hospital Shah Alam

SELANGOR KINI


SHAH ALAM– Kegagalan Kementerian Kerja Raya (JKR) menyiapkan projek pembinaan Hospital Shah Alam di Seksyen 7 sebelum suku pertama 2012, hanya menunjukkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang diuar-uarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah omong kosong semata-mata. Itu antara yang dipersoal Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Beliau menegaskan, projek pembinaan hospital yang terbengkalai sejak Julai tahun ini menjadi rumit selepas tender yang diberikan secara rundingan terus menyebabkan proses tender baru bakal mengambil masa lebih 30 bulan untuk menyediakan semula semua dokumen dan pelan berkaitan.

“Cadangan supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil alih projek itu ditolak oleh Kerajaan Persekutuan. Ini kerana prosesnya tidak mengikut tender tetapi rundingan terus kepada syarikat tertentu menyebabkan perkara itu menjadi sukar.

“Masalahnya, ia dibina tanpa sebarang dokumen dan untuk menyediakan semula dokumen tersebut akan mengambil masa hampir setahun. Ini menyebabkan kosnya meningkat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa,” kata Khalid pada sidang media di pejabatnya petang semalam.

Khalid menambah, situasi ini mencerminkan ketidak berkesanan JKR di dalam menangani masalah ini sewaktu ekonomi negara kesempitan dana.

“Cara mereka menangani isu ini juga nampaknya masih lagi menggunakan cara dan budaya lama,” ujarnya dipetik dari Suara Keadilan. Com

Tambah beliau lagi, sudah hampir empat bulan berlalu, tanpa ada perkembangan berhubung isu pembinaan ini daripada pihak kementerian.

“Perkara ini tidak boleh diterima. Kita desak supaya menteri terbabit mempercepatkan dan menyelesaikan perkara ini tanpa ada kenaikkan kos,” tegas Khalid.

Menurutnya, kos pembinaan sebanyak RM480 juta juga merupakan kos yang dikatakan mahal sedang jika mengikut ‘rule of thumb’, sepatutnya hospital dengan kelengkapan katil sebanyak 300 unit sepatutnya menelan kos RM300 juta sahaja.

“Sudahlah mahal, terbengkalai pula tu, saya difahamkan ada pihak yang sanggup menawarkan untuk membina dengan harga diskaun tetapi anehnya, Kerajaan Pusat masih lagi mahu menenderkan projek tersebut,” kata beliau lagi

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam,

beres elbi.

www.duniacacamarba.blogspot.com