Rabu, 6 Oktober 2010

Jayanthy diminta buat laporan polis berhubung penyelewengan syarikat suaminya

THE MALAYSIAN INSIDER


SHAH ALAM, 6 Okt — Isteri kepada ahli perniagaan yang dilaporkan hilang sejak Ogos tahun lepas, S. Anpalagan, hari ini hadir di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor bagi mendapatkan pandangan berhubung kes penyelewengan dalam syarikat milik suaminya itu.

S. Jayanthy, 34, yang memakai baju berwarna merah jambu dan seluar hitam ditemani Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam tiba di pejabat itu kira-kira pukul 11.55 pagi dan keluar semula sejam kemudian.

Manikavasagam (gambar) berkata Jayanthy hadir atas arahan polis Bukit Aman berhubung dakwaan berlakunya penipuan dalam syarikat milik Anpalagan termasuk jawatan pengarah syarikat yang bertukar tangan tanpa sebarang makluman pada Disember tahun lepas, kira-kira empat bulan selepas kehilangan mangsa.

“Hasil pertemuan dengan seorang pegawai (polis) tadi, Jayanthy diminta untuk mendapatkan lebih banyak maklumat termasuk dokumen-dokumen penting serta membuat satu laporan polis berasingan mengenai penyelewengan dan penipuan syarikat milik suaminya,” katanya kepada pemberita di sini.

Sehubungan itu, Manikavasagam berkata pihaknya akan membantu Jayanthy mengumpul semua dokumen yang diperlukan dalam masa seminggu sebelum satu laporan polis dibuat.

Beliau berkata Jayanthy telah melantik seorang pembantu khas bagi semua urusan termasuk mendapatkan maklumat dan dokumen syarikat milik suaminya itu.

Sementara itu, Jayanthy yang ditemui berkata dia akan berusaha mendapatkan segala dokumen yang diperlukan dalam kadar segera.

Sabtu lepas, Jayanty melahirkan rasa bimbang apabila masih tidak mengetahui nasib suaminya, Anpalagan, 43, yang tidak pulang ke rumah setelah menemui seorang rakannya di Bukit Sentosa, Rawang.

Jayanthy yang membuat laporan polis di Balai Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Ogos 2009 berkata rakan Anpalagan ada memberitahu bahawa suaminya memaklumkan dia hendak ke Banting.

Bagaimanapun, kereta Mercedez Benz bernombor AGJ 32 milik suaminya dikesan berada di Nur Lembah Pangson Eko Resort, Hulu Langat menerusi sistem kedudukan global (GPS) tetapi resort berkenaan memaklumkan suaminya tidak mendaftar masuk.

Isnin lepas, Jayanthy menghantar memorandum ke Bukit Aman bagi meminta polis menyegerakan siasatan kes kehilangan suaminya itu.

Tiada ulasan: