Jumaat, 1 Oktober 2010

Inspektor polis maut ketika bertugas operasi cegah lumba haram

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Seorang anggota polis berpangkat Cif Inspektor maut ketika mengetuai operasi cegah lumba haram apabila motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di simpang tiga Jalan Datuk Senu di sini pukul 10.30 malam tadi.

Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata kejadian berlaku ketika mangsa, Mohd Khairul Zaini Mohd Zain, 31, sedang mengetuai pasukan operasi cegah lumba haram di situ bersama lapan orang lagi anggotanya dengan menaiki motosikal.

“Ketika sampai di simpang tiga sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berumur 44 tahun yang sepatutnya berhenti memberi laluan tetapi tidak berhenti dan melanggar mangsa, menyebabkan mangsa tercampak di tengah jalan.

“Mangsa yang dipercayai cedera di kepala mati serta-merta di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan telah dimandikan serta dikafankan di Masjid Bukit Aman pagi ini.

Abdullah berkata Mohd Khairul yang telah berkhidmat selama sembilan tahun dengan PDRM akan dikebumikan di kampungnya di Kota Baharu, Kelantan.

“Mayat mangsa akan dihantar ke sana dengan menaiki pesawat unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor-Panji Kota Baharu hari ini,” katanya.

Beliau berkata, wanita tersebut telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: