Isnin, 4 Oktober 2010

Informasi perubatan salah jejas kesihatan

Muhamad Yusri Amin

KOTA BHARU: Kesihatan rakyat negara ini akan terjejas sekiranya mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya di samping mendapat informasi yang salah mengenai perubatan dan kesihatan, kata Prof Datuk Mafauzy Mohamed, Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Rakyat di negara ini masih kurang pengetahuannya khususnya pengetahuan dalam bidang perubatan akibat kekurangan buku dan bahan penerbitan dalam Bahasa Melayu.

“Justeru dengan adanya buku-buku dan bahan penerbitan dalam Bahasa Melayu, orang ramai di negara ini lebih mengetahui beberapa masalah perubatan di Malaysia. Dengan itu mereka tidak lagi terpengaruh dengan ‘cerita-cerita dongeng’.

“Sekiranya mereka mendapat informasi yang salah mengenai perubatan dan kesihatan, hal itu menyebabkan mereka mungkin tidak memahami rawatan yang sewajarnya dan akan mengakibatkan kesihatan mereka terjejas,” katanya kepada media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Di Antara USM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian dekat sini, semalam.

Beliau turut mengulas peranan universiti di mana sebagai universiti, USM tidak menggunakan istilah ‘menara gading’, namun sebaliknya menggunakan istilah ‘menara ilmu’.

“Ini kerana ‘menara gading’ itu seolah-olah meletakkan warga universiti dalam dunianya sendiri. Macam syok sendiri, seolah-olah kita tidak ada langsung sumbangan dan impak kepada masyarakat.

“Jadi dengan adanya ‘menara ilmu’ itu, kita ada institusi yang mempunyai ilmu dan ini bukan saja kita hadkan kepada pelajar-pelajar yang masuk universiti, tetapi ilmu yang sepatutnya disebar dan dikongsikan bersama oleh masyarakat,” katanya.

Lebih 60 pakar dalam pelbagai bidang termasuk dari Pusat Pengajian Sains Pergigian, Perubatan dan Kesihatan terbabit dalam penulisan buku dengan kerjasama DBP itu dilantik menjadi panel pakar runding bidang perubatan DBP.

Pada majlis itu lima buah buku dilancarkan iaitu 100 Soalan Mengenai Infertiliti, Infertiliti: Hala Tuju dan Cabaran, Penyakit Bawaan Makanan dan Air, Menapouse Menghadapinya Tanpa Kepiluan dan Merokok: Ketagihan Yang Harus Dihentikan.

“Dengan MoU yang dimeterai bersama DBP hari ini memberi ruang kepada pensyarah USM menulis buku dalam Bahasa Melayu dan buku itu bukan saja berupa buku teks untuk pelajar tempatan yang lazimnya dihasilkan, tetapi adalah buku untuk bacaan umum,” katanya.

MoU itu memberi galakan kepada penulis dalam bidang penulisan bagi menghasilkan buku bermutu di samping melaksanakan program bimbingan dan latihan dalam bidang penulisan serta promosi dan aktiviti pemasaran.

Turut ditandatangani pada majlis itu ialah MoU USM dengan MERCY Malaysia dalam usaha menyediakan kakitangan perubatan untuk memenuhi keperluan sukarelawan bagi merawat ‘bibir dan lelangit sumbing’ kanak-kanak kurang berkemampuan di negara ‘bottom billion’ dan populasi negara miskin seperti Bangladesh dan lain-lain negara.

Turut hadir Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus.

Tiada ulasan: