Selasa, 19 Oktober 2010

Identiti Empat Korban Tragedi Bot Di Sungai Anap Dikenalpasti

BERNAMA

KUCHING: Identiti empat penumpang bot ekspres yang disahkan terkorban dalam tragedi pelanggaran dengan sebuah tongkang di hulu Sungai Anap Tatau petang Isnin telah dikenalpasti.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM) Bintulu ASP Iswandi Ken berkata mangsa pertama yang ditemui ialah bayi perempuan berusia lima bulan yang dikenalpasti sebagai Jennifer Yak dari Long Tepen Palutan.

Tiga lagi mayat yang ditemui dikenali sebagai Wong Siew Guan, 21, dari Durin Sibu; Wilfred Ukir Salleh, 56, dari Rumah Sudan Sibu; dan Meas anak Renggan, 75, (wanita) dari Rumah Engka Kakus.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang Isnin, bot ekspres yang difahamkan membawa kira-kira 30 penumpang itu dikatakan terbalik dan karam selepas berlanggar dengan tongkang balak.

Bot yang dalam perjalanan dari Pekan Tatau ke Hulu Kakus itu bertolak dari Pekan Tatau pada pukul 1.30 petang.

Sehingga malam Isnin, empat disahkan maut manakala 17 penumpang termasuk empat kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun disahkan selamat. Tujuh penumpang dewasa dan empat kanak-kanak terbabit dirawat di Hospital Umum Bintulu.

"Setakat jam 11 pagi ini kita belum menerima laporan penemuan baru mangsa yang terkorban dalam kejadian itu walaupun ada laporan media yang mengatakan jumlah mangsa yang terkorban lebih dari empat orang," kata Iswandi kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata pemandu bot ekspres terbabit iaitu Ting Meng Siik, 58, selamat dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Daerah Tatau lewat petang Isnin.

Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, PGM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pekerja balak sebuah kem balak berhampiran.

"PGM juga menghantar pasukan penyelam dari Kuching untuk membantu operasi mencari dan menyelamat hari ini," katanya.

Tiada ulasan: