Ahad, 17 Oktober 2010

Ibrahim Ali akan dibedah esok pagi

MALAYSIA KINI


Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang kerana masalah jantung akan dibedah esok pagi.

"Alhamdulillah keadaan stabil, (beliau) sedang rehat untuk pembedahan esok pagi," kata ketua Wira NGO Melayu itu Arman Azha Abu Hanifah.

Semalam, Timbalan Presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata selepas dimasukkan ke hospital semalam, keadaannya stabil dan hospital hanya membenarkan anggota keluarga untuk melawat Ibrahim.

Beliau berkata selepas membuat pemeriksaan akibat tidak sihat sejak tiga minggu lalu, Ibrahim dinasihatkan supaya segera membuat pembedahan.

Sementara itu, menulis dalam laman Facebook, Arman Azha memberitahu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin - yang pernah 'bertingkah' dengannya di media - turut mengambil peluang menziarahinya.

Dalam perkembangan berkaitan, PERKASA hari ini dijadual akan mengadakan solat hajat dan doa selamat di De Palma Hotel, Ampang pada jam 6.30 petang ini berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: