Khamis, 28 Oktober 2010

Hina mahkamah: Bekas IGP, ketua CID bebas

MALAYSIA KINI


Dua lelaki yang ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam mengikut Ordinan Darurat hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk mendapatkan perintah menghina mahkamah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd. Zinin.

Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan kehadiran Musa dan Bakri yang dinamakan sebagai responden dalam notis usul secara ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan oleh R Muniyandi, 26, dari Kluang, Johor dan dan B Sasinthiran, 28, dari Kuala Selangor.
Dalam menolak permohonan hari ini, hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak berkata kertas perintah mahkamah tidak diserahkan secara peribadi kepada kedua-dua pegawai polis kanan itu yang memerintahkan dua tahanan itu dibebaskan dari pusat tahanan.

"Dalam kedua-dua permohonan, telah dinyatakan dalam writ habeas corpus yang diserahkan kepada Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam Johor dan bukan kepada kedua-dua individu yang didakwa mennghina mahkamah," kata hakim Mohd Sofian.

Katanya, berikutan itu, mereka tidak boleh dipersalahkan dengan penahanan semula kedua-dua individu terbabit.

Dengan keputusan berkenaan, Musa dan Bakri terlepas dari didakwa menghina mahkamah kerana mengarahkan supaya kedua-dua individu yang dibebaskan atas perintah Mahkamah Tinggi ditahan semula.

Sasinthiran dan Muniyandi telah ditahan mengikut Ordinan Darurat atas dakwaan terbabit dengan gengsterisme dan kegiatan-kegiatan jenayah lain, memulakan permohonan untuk mendakwa Musa dan Bakri dengan tuduhan menghina mahkamah kerana tidak mengendahkan perintah mahkamah membebaskan mereka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Mereka telah ditahan semula di luar pusat tahanan Simpang Renggam, di Johor sebaik sahaja dibebaskan selepas surat perintah mahkamah diserahkan kepada pihak berkuasa di pusat tahanan terbabit.

Kedua-dua Musa dan Bakri yang memakai sut kelabu masuk dan meninggalkan mahkamah melalui pintu tepi bagi mengelakkan ramai jurugambar yang menunggu untuk merakamkan gambar mereka.

Kedua-dua merteka tersenyum apabila hakim membacakan penghakimannya dan beredar sebelum wartawan sempat menemu-bual mereka.

Tiada ulasan: