Ahad, 17 Oktober 2010

Hari penerimaan pencalonan PKR berjalan meriah


z Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Suasana hari penerimaan borang calon-calon bertanding dalam Pemilihan 2010 Parti Keadilan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, Tropicana semalam berjalan dengan suasana yang meriah dan lancar.

Tinjauan FMT mendapati tidak kurang seribu penyokong-penyokong calon-calon bertanding telah hadir untuk memberikan sokongan kepada calon-calon pilihan mereka pada sepanjang hari.

Selain daripada suara sorakan penyokong-penyokong bertanding, majlis ini berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kekecohan berlaku.

Dalam ucapan para calon bertanding, rata-rata mahukan pertandingan dijalankan dalam suasana kekeluargaan, secara sihat dan tidak menyerang lawan masing-masing baik secara peribadi mahupun sebaliknya.

Kempen yang sihat

"Ia perlu untuk menjayakan harapan kita yang terpendam… Dengan itu saya minta ahli dan penyokong tumpu dalam pemilihan dengan kempen yang sihat," kata Dato Zaid ketika memberikan ucapan beliau.

"Jangan mereka-reka cerita, jangan laga-lagakan sesama kita, kita mahu kesatuan yang kukuh. Itu sahaja yang boleh ganyang Barisan Nasional," katanya.

Selain itu, menurutnya lagi ahli parti perlu diberi kesedaran terlebih dahulu sebelum parti bercakap tentang perubahan dan transformasi.

Beliau juga menegaskan PKR bukanlah parti untuk mana-mana individu tetapi adalah hak milik semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.

Sementara itu, Chegu Bard yang bertanding bagi jawatan Ketua AMK turut menyatakan kepentingan ahli-ahli parti untuk bersatu walaupun dalam suasana pemilihan ini kerana perjuangan lebih besar ialah membawa PKR ke Putrajaya.

Setiap calon yang bertanding diberikan masa selama tiga minit untuk memberikan ucapan kepada orang ramai yang hadir di sini.

Calon-calon lain ketika memberikan ucapan turut melontarkan pandangan yang senada, mahukan pertandingan ini dijalankan dengan telus dan bersih.

Sementara itu, presiden parti, Dato Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menang tanpa bertanding tiba di sini dengan diiringi Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim kira-kira jam 4.00 petang.

Selain daripada Zaid yang telah menyerahkan borang penerimaan pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden, calon lain jawatan sama turut berbuat demikian ialah Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub.

Khalid Ibrahim tidak kelihatan

Seorang lagi yang layak bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak kelihatan. Menurut sumber daripada dalaman PKR, beliau tidak bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden seperti mana yang diberitahu sebelum ini.

Bagi jawatan Naib Presiden pula antara calon yang telah menyerahkan borang ialah Jonson Chong, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Fuziah Salleh, Gobalakrishnan, S. Manickavasagam dan Mansor Osman.

Seramai 16 orang calon layak bertanding bagi jawatan ini. Badrul Hisham Shaharin dan Shamsul Iskandar Mohd Akin pula telah menyerahkan borang penerimaan pencalonan bagi jawatan ketua AMK kira-kira jam 3.30 petang.

Penerimaan Pencalonan PKR dibuka kepada calon-calon yang layak bertanding bagi Pemilihan PKR 2010 pada jam 10.00 pagi dan ditutup penerimaannya pada jam 6.00 petang.

Tiada ulasan: