Ahad, 17 Oktober 2010

Gamis gesa masyarakat prihatin gejala sosial

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menggesa supaya rakyat Malaysia mengambil perhatian serius dalam persoalan masalah sosial yang kian menggila di kalangan remaja sekarang ini.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon berkata, generasi remaja merupakan antara susuk tubuh yang amat bernilai dan juga menjadi kayu ukur kepada pembentukan sesebuah negara.

Katanya, masalah buang bayi yang berleluasa sudah cukup menjadi bukti keparahan sosial masyarakat di mana analisis masalah mengandung anak luar nikah juga semakin meningkat.

Namun barah yang ada itu, katanya ditambah lagi dengan racun yang dibawa masuk, iaitu budaya ‘gay’ yang ditonjolkan melalui artis remaja Amerika, Adam Lambert dalam konsert di Bukit Jalil baru-baru ini.

Tambahnya, masa depan remaja Malaysia yang dicanangkan sebagai pemimpin masa depan bakal berdepan konflik jika landskap masyarakat negara dibentuk oleh suasana seperti ini.

Katanya, sangat mendukacitakan apabila gejala sosial semakin membiak, usaha menyuburkannya digiatkan lagi.

Baginya, tidak ada guna membina sekolah untuk remaja hamil yang terlanjur (sekolah harapan), ataupun lawatan ke Belgium untuk mendapatkan sistem pencegahan masalah itu sekiranya dalam masa yang sama budaya negatif dibawa masuk.

“Ibarat kita membunuh nyamuk, air yang bertakung di biarkan berjentik,” ujarnya.

Sehubungan itu, ujarnya Kem Bina Sahsiah 2010 yang dianjurkan oleh Pusat Pendidikan Muassasah Darul Ulum dengan kerjasama Unit Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah yang akan diadakan di kompleks pendidikan itu pada 28 November hingga 18 Disember nanti merupakan satu usaha yang baik bagi melahirkan kesungguhan pihak kerajaan negeri untuk mengurangkan masalah itu.

Kem-kem yang bakal diteruskan siri kelansungannya ini merupakan langkah bijak yang diambil oleh pihak kerajaan negeri Kedah dalam mengawal dan mengurangkan kes-kes jenayah yang melibatkan generasi remaja pada hari ini yang sudah kian parah.

Tambahnya, program yang dianjurkan itu merupakan satu pendekatan terbaik dalam melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan.

Tiada ulasan: