Selasa, 5 Oktober 2010

Galas: Umno belum tunai janji di Manek Urai

Hashim Abdullah

TEMERLOH: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno BN amat bermasalah menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas kerana janji mereka semasa PRK Manek Urai belum ditunaikan.

Menurutnya, sedangkan kawasan Dun Manek Urai terletak bersebelahan dengan Dun Galas.

“Mereka akan bermasalah dalam kempen kerana rakyat akan buat perbandingan. Masalah Manek Urai tak selesai lagi, mungkin itu yang menyebabkan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin takut jadi pengarah pilihan raya Umno BN,” katanya sinis.

Justeru, beliau selaku Pengarah Pilihan raya PAS bagi PRK Galas berkata, peluang PAS mempertahankan kerusi Dun Galas adalah cerah berdasarkan kajian yang menunjukkan latar belakang masyarakatnya yang peka dengan perkembangan semasa.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, pengundi Dun Galas adalah golongan yang telah mendapat nikmat hasil daripada pembangunan yang dilakukan kerajaan negeri terutama selepas terbinanya bandar baru di situ.

"Kita percaya pengundi di Galas akan terus memberikan sokongan kepada PAS untuk meneruskan agenda pembangunan di situ,” katanya.

Ini, ujarnya ditambah dengan latar belakang masyarakatnya yang telah memperolehi nikmat pembangunan hasil daripada pertumbuhan bandar baru.

“Wakil kita (Allahyarham Chek Hashim) dulu pun telah memberikan khidmat yang amat baik kepada rakyat ini semua akan membantu kita,” katanya.

Tiada ulasan: