Khamis, 28 Oktober 2010

Galas: Tak payah cari yang sakit kata BN

Salhan K Ahmad

Calon BN Abdul Aziz Yusof mula memperlihatkan personalitinya hari ini apabila beliau tampil berucap di satu majlis di daerah mengundi Batu Papan bersama timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau dilihat cuba menonjolkan peribadi yang rendah diri, tetapi pada masa yang sama berkeyakinan dengan kemampuannya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Sekarang timbul isu saya cuma lulus SPM berbanding lawan dengan kelulusan doktor.

“Nak jadi pemimpin bukan begantung kepada ijazah yang berjela-jela, tetapi yang penting adalah kemampuan dan kesanggupan berkhidmat,” katanya dalam kepada kira-kira 400 orang yang hadir di majlis berkenaan.

Bercakap di majlis yang dianjurkan bersama dengan Kesedar itu, beliau menyifatkan dirinya seperti bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba.

“Beliau bukan saja jadi timbalan perdana menteri tapi berkhidmat kepada rakyat seluruh negara.

“Jadi isu ini tidak timbul. Isu yang sebenar ialah Galas kehilangan wakil rakyat selama lebih dua tahun,” katanya lagi dalam ucapan ringkasnya itu.

Katanya lagi, beliau tidak ingin menabur janji dalam kempen pilihan raya kali ini, “tapi pengakuan akan berusaha sedaya upaya, saya akan beri perkhidmatan terbaik.”

“Saya tidak penting, yang penting kemenangan parti melawan PAS,” katanya lagi yang menyifatkan kemenangan kepada BN sebagai satu bayangan kepada penerimaan rakyat.

“Saya rayu berilah peluang kepada saya,” tambahnya.

Berbanding dengan pertemuannya dengan sebelum ini, Abdul Aziz kali ini kelihatan lebih berkeyakinan ketika berucap di hadapan khalayak.

Bagaimanapun beliau nampaknya tetap mengelak daripada membangkitkan apa-apa isu, selain cuba meraih sokongan daripada para pengundi yang hadir.

Dalam satu sidang media ringkas di bilik gerakan BN pada Isnin lalu, beliau juga menunjukkan sikap yang sama.

Abdul Aziz sekadar menyebut mengenai isu bekalan air bersih kepada masyarakat Orang Asli dan isu berkenaan nampaknya memihak kepada beliau.

Beliau pagi ini berkunjung ke beberapa kawasan Orang Asli dalam DUN Galas dan Muhyiddin juga melakukan kunjungan sama.

Dalam ucapannya selepas itu, Muhyiddin berkata isu-isu melibatkan masalah bekalan air, tanah dan penanaman getah itu kesemuanya telah diselesaikan hasil kunjungan itu.

Abdul Aziz juga dilihat menerima sokongan yang besar di “kawasan putih” BN itu, yang mempunyai seramai hampir 1,750 pengundi.

Kawasan itu juga mencatatkan lokaliti pengundi yang paling besar berbanding kawasan lain.

Pengarah peti undi BN di situ Shaari Lembut berkata, kawasan itu mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam pilihan raya umum 2008, berbanding 2004.

“Dulu kita kalah dengan 92 undi saja (di peti undi Batu Papan),” kata Shaari dalam ucapan alu-aluannya di majlis yang sama.

Shaari berkata sokongan tersebut sebahagian besarnya diperolehi daripada pengundi muda yang diharapkan akan memberi sokongan diberikan kepada Abdul Aziz.

Diperhatikan, satu ciri yang membezakan Abdul Aziz dan lawannya Dr Zulkefli Mohamed daripada PAS ini ialah keadaan fizikal masing-masing.

Abdul Aziz dilihat mempunyai bentuk badan yang langsing berbanding Dr Zulkefli yang kelihatan obese.

Secara berjenaka, Shaari menyifatkan Abdul Aziz sebagai seorang yang “masih muda, sihat dan boleh berlari lagi.”

“Tak payah cari yang sakit, yang sihat ada kat sini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: