Selasa, 26 Oktober 2010

Galas saksi satu lawan satu; BN ditentang SAPP dan Pakatan di Batu Sapi

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


Calon PAS Dr Zulkefli (kiri) bersama Abdul Aziz selepas diisytiharkan calon pilihan raya kecil kerusi DUN Galas di Gua Musang pagi tadi. — Gambar oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR — Pilihan raya kecil untuk memperoleh kemenangan moral — di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan menyaksikan pertarungan satu lawan satu manakala di Batu Sapi, Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan saingan Pakatan Rakyat dan Parti Maju Sabah (SAPP).

BN turun gelanggang untuk merampas balik DUN Galas dan mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi.

Sebelum ini PAS dan BN mengisytiharkan pilihan raya kecil DUN Galas ini sebagai “amat penting.”

Calon BN Abdul Aziz Yusoff, 49, iaitu Setiausaha Umno Gua Musang berhadapan dengan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad, 44.

Pengesahan status calon diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wan Mustapha Wan Abdul Hamid sebentar tadi selepas berakhirnya sesi bantahan pada pukul 11 pagi.

Dalam pada itu, pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pula menyaksikan persaingan tiga penjura antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan cabaran PR dibawa oleh Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran Ansari Abdullah yang juga seorang peguam.

Yong merupakan bekas ketua menteri Sabah. SAPP keluar BN akhir 2008.

Di Galas, selepas tamat tempoh bantahan di akhir proses penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini, Wan Mustapha mengumumkan nama kedua-dua calon itu pada 11.30 pagi.


Tiga calon bertanding kerusi Batu Sapi (dari kiri) Ansari, Tsen dan Yong selepas menyerahkan borang penamaan calon di Sandakan hari ini. — Gambar oleh Jack Ooi
Pengumuman itu disambut dengan sorakan bergemuruh para penyokong kedua-dua parti itu.

Abdul Aziz, merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi dan Dr Zulkefli pula menyerahkan borang pencalonannya pada 9.30 pagi.

Proses pencalonan itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, walaupun parti-parti politik yang bertanding itu membawa bersama ribuan penyokong.

Bagaimanapun, Presiden Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat yang menyatakan akan meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil ini, tidak muncul pada penamaan calon hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas.

Che Hashim menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum 2008.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November sebagai tarikh pengundian.

Pilihan raya kecil DUN Galas merupakan yang kedua di Kelantan selepas Pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai 2009 dan pilihan raya kecil yang ke-12 berlangsung di seluruh negara selepas pilihan raya umum 2008.

Sementara itu, Bernama melaporkan seperti dijangkakan, pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, SAPP dan PKR.

Senarai calon pilihan raya kecil pada 4 November itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohamad Hamsan Awang Supain, yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan, di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Sandakan.

Mohamad Hamsan menerima borang pencalonan ketiga-tiga calon selepas tiada isu dibangkitkan semasa tempoh bantahan selama sejam.

Ansari mendahului calon-calon lain apabila tiba di Dewan Komuniti Sandakan pada pukul 9.02 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan, diikuti oleh Yong pada 9.05 pagi dan selepas itu calon BN, Tsen pada pukul 9.06 pagi.

Ribuan penyokong hadir berkumpul seawal pukul 5.45 pagi untuk mengiringi calon masing-masing.

Dengan penuh bersemangat, mereka kedengaran melaungkan slogan parti masing-masing namun berdisiplin mematuhi arahan pihak berkuasa.

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu di Kota Kinabalu.

Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Chong. Pada pilihan raya umum 2008, Chong mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

23 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Diharapkan pilihan raya kecil ini akan berjalan lancar dan semoga calon yang terbaik akan muncul sebagai pemenang.

Anak Sabah berkata...

Nampaknya pilihan raya Batu Sapi kali ini amat menarik. Tak sabar nak melihat keputusan akhir.

samm berkata...

persaingan sengit mungkin akan berlaku. namun, pengundi perlulah memilih calon yang benar-benar mereka yakin boleh memimpin mereka dengan baik.

Bujang Senang berkata...

Galas: PAS lawan BN, dahulu BN hanya kalah dengan PAS 600 lebih pengudi. Ini maknanya pengaruh BN di Galas tetap ada. PAS jangan ingat penduduk Galas 100% meyokong PAS tapi mesti ada sebaliknya.

Sanih Alias berkata...

pertandingan 3 penjuru di Batu Sapi merupakan satu saingan sengit bagi BN untuk mempertahankannya. Parti pembangkang ialah SAPP mencalonkan YTL dan PKR mencalonkan Ansari. Ansari mungkin tidak ada masalah bagi BN tapi YTL adalah pesaing yang sengit untuk BN kerana pengaruh beliau di sabah tidak boleh dinafikan lagi.

Hosie Masie berkata...

tandingan yang sengit untuk BN di kedua tempat iaitu Galas dan Batu Sapi. Apa pun semoga BN akan dapat mempertahankan kerusi dan juga menawan kerusi Galas.

evan medhousky berkata...

elakkan insiden yang boleh menjejaskan atau mencemarkan proses perjalanan PRK. pastikan kehadiran beribu2 orang penyokong tidak menimbulkan sebarang kekecohan sehingga tamat PRK 4 November ini.

evan medhousky berkata...

sudah tentu ramai yang tidak sabar menanti keputusan PRK ini. semakin banyak persoalan yang timbul, semakin hangat isu PRK dimainkan dimedia2... semoga berjaya dan teruskan persiapan..

tombolo berkata...

piliharaya Galas dan BAtu sapi akam berlangsung dgn sengit, semua calon yang bertanding mempunyai kekuatan sendiri, bagaimanapun, rakyat yang menentukan keputusannya.

Tanpa Nama berkata...

semua yang bertanding akan berusaha yang terbaik. namun, keputusannya nanti akan ditentukan oleh undian pengundi...

Jason berkata...

Siapakah yang bakal menang dalam pilihan-raya kecil ini? Keputusannya di tangan pengundi2x. Oleh itu, undilah yang terbaik!

Jason berkata...

Semoga semua calon akan bertanding secara bersih dan adil. May the best man win!

kb girl berkata...

Ramai yang meramalkan keadaan tidak berubah. BN mempertahankan Batu Sapi dan PAS kekal kerusi Galas.

Unknown berkata...

Sapp berhajat tinggi gunung Kinabalu.
Bertaruh abis. Kalau menang, baru ada 'bargain power'.

Paquin berkata...

Tak sabar mahu tahu apakah kesudahannya nanti. Terutamanya jawapan kepada persoalan, mampukah Datin Linda menambat hati pengundi.

Paquin berkata...

PRK BS memang sengit dan pastinya apa2 pun boleh berlaku.. jeng, jeng, jeng.. hehe

Paquin berkata...

Walaupun PRK ni sengit, saya harap para calon akan bertanding dengan adil dan tidak menggunakan sebarang takti kotor utk menjatuhkan lawan.

Paquin berkata...

Setipa pemimpin nyata mempunyai kelebihan sendiri. Jadi pastikan pengundi membuat pilihan yang tepat.

Paquin berkata...

Apapun, sama2 kita lihat apa kejadiannya nanti dan saya harap semuanya berjalan lancar.

Unknown berkata...

Lawan tiga penjuru memberikan keselesaan pada BN dalam pilihanraya ini.

Unknown berkata...

Kenapa pembangkang tidak dapat mencapai kata sepakat? Terbukti mereka tidak dapat bekerjasama.

captain berkata...

Galas merupakan medan perang sukar bagi BN. Pengaruh PAS di kawasan ini kuat.
Batu Sapi pula lebih mudah bagi BN.

Unknown berkata...

Tugas mudah bagi BN mempertahankan Batu Sapi.
Lain pula cerita di Galas.
BN terpaksa mencurahkan semua usaha untuk merampas balik kerusi DUN ini yang satu ketika dulu merupakan kerusi BN.