Ahad, 3 Oktober 2010

Galas: PAS sudah senarai pendek calon

Hazayani Zakaria

MARANG: PAS sudah mengenal pasti beberapa individu yang akan disenarai pendek untuk diletakkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas.

Pengarah PRK PAS bagi Dun Galas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti petang esok.

"PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat pada Ahad nanti. Agenda penting ialah kita akan bincang mengenai pilihan raya kecil Dun Galas.

"Kita sudah kenal pasti di peringkat negeri ada beberapa tokoh yang kita senarai pendekkan untuk kita buat keputusan di peringkat jawatankuasa pusat yang akan kita angkat ke majlis syura dan majlis syura akan buat keputusan," kata beliau pada sidang media selepas majlis perasmian Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila malam tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, PAS menitik beratkan faktor calon pada PRK kali ini dan anak tempatan adalah diberi keutamaan untuk diletakkan sebagai calon.

"Kali ini faktor calon itu faktor penting dan keutamaan kita ialah anak tempatan," katanya.

Tak kisah calon lawan

Diminta mengulas mengenai cadangan Umno untuk meletakkan veteran parti,Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon mereka, beliau menyifatkan ianya sebagai tindakan untuk menjatuhkan karier politik ahli Parlimen Gua Musa itu.

"Saya fikir itu satu cara pembunuhan secara halus karier politik Tengku Razaleigh.

"Saya fikir dari sudut politik jangka panjang itu bukan tindakan yang betul," katanya.

Namun ujarnya, PAS bersedia menghadapi sesiapa sahaja calon yang diletakkan Umno.

"PAS sedia menghadapi siapa sahaja calon. Kalau (Datuk Seri) Najib sekalipun nak jadi calon, kita akan sambut," katanya.

Beliau juga yakin PAS mampu meraih lebih ramai sokongan pengundi berbanding pada pilihan raya umum yang lalu berdasarkan rekod baik pembangunan di Gua Musang di bawah pemerintahan PAS selama hampir 20 tahun.

"Walaupun majoriti sebelum ini hanya 600 lebih, namun kita yakin ia akan meningkat pada PRK kali ini melihat kepada kemajuan bandar Gua Musang sendiri, kita yakin rakyat akan bagi mandat kepada PAS," katanya.

Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga ujarnya dapat membantu PAS untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu.

"Ini pilihan raya pertama selepas kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS dan kita akan beri ruang kepada mereka untuk disusun strategi dan pendekatan untuk bersama dengan pengundi bukan Melayu," katanya.

Tiada ulasan: