Rabu, 20 Oktober 2010

Galas: Najib dijangka umum calon BN di akhir AGM Umno


KUALA LUMPUR — Perhimpunan Agung Umno 2010 yang bermula semalam, dilihat akan mencuri tumpuan ekoran pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas di akhir pertemuan tahunan parti itu.

The Malaysian Insider difahamkan calon BN bagi Galas akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menutup Perhimpunan Agung Umno 2010, Sabtu ini.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Timbalan Ketua Umno Gua Musang Mat Yusoff Abdul Ghani berkata Najib sendiri akan mengumumkan calon yang bakal menggalas tanggungjawab di Galas.

“Ya, calon Umno pilihan raya kecil DUN Galas akan diumumkan Perdana Menteri pada 23 Oktober ini ketika penutup Perhimpunan Agung Umno.

“Sekarang Perdana Menteri dan pengarah pilihan raya Umno DUN Galas (Tengku Razaleigh Hamzah) sedang menilai kesemua calon dan akan umumkan perkara itu ada 23 Oktober ini,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan memperkenalkan calon tersebut di Galas keesokan harinya.

Perhimpunan Agung Umno 2010 bermula semalam.

Mat Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri berkata beliau tidak mengetahui siapa calon yang bakal dipilih kerana ia terletak di tangan Najib.

“Petang tadi (semalam) kita bermesyuarat dengan pengarah pilihan raya dan ahli jawatankuasa pilhan raya untuk susun strategi.

“Keputusan siapa calon itu terletak di tangan Perdana Menteri, kita hanya mencadangkan sahaja siapa calon yang layak,” katanya.

Sebelum ini Muhyiddn berkata calon Umno pada pilihan raya kecil Galas akan diumumkan pada Ahad ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima akibat barah usus pada 27 September lepas.

Allahyarham memenangi kerusi DUN Galas dengan menewaskan calon BN, Mohamad Saufi Deraman pada pilihan raya umum lalu.

Penamaan calon pilihan raya kecil ditetapkan 26 Oktober ini manakala pengundian dijadual berlangsung 4 November.

Tiada ulasan: