Rabu, 6 Oktober 2010

Galas: Dewan Ulamak akur siapa saja calon PAS

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU-: Dewan Ulamak PAS Pusat akur kepada keputusan sesiapa sahaja calon yang akan dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas nanti.

Timbalan ketuanya, Datuk Ahmad Yakub berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat Orang Asli di Kediaman Rasmi Menteri Besar JKR 10, hari ini.

Menurut beliau, Dewan Ulamak PAS Pusat akan bermesyuarat Sabtu ini bagi menyusun jentera parti dan membantu calon yang akan mewakili PAS.

“Kita akan bermesyuarat Sabtu ini dan akan membincangkan beberapa aspek gerakan jentera ulama termasuk mengadakan aktiviti ceramah, solat hajat dan beberapa lagi dalam aspek keagamaan,” kata beliau.

Menyentuh calon pilihan ulama, Ahmad berkata dia mestilah seorang yang mempunyai ciri-ciri yang ditetapkan oleh Majlis Syura.

“Berkaitan calon ni, tidak semestinya dari golongan ulama dan Dewan Ulamak akan pastikan ia menepati kehendak Majlis Syura dan mempunyai imej yang selari dengan parti, apa pun kita tunggulah nanti siapa calonnya,” ujar beliau lagi.

Beliau juga berkata sehingga kini, kira-kira 1,800 masyarakat Orang Asli di enam kawasan peti undi layak mengundi pada pilihan raya kecil itu.

“Kita akan mengambil kira pandangan wakil masyarakat Orang Asli agar mereka diberi hak untuk turut sama berkempen dalam satu pentas bersama pimpinan parti yang lain,” katanya ketika mengulas cadangan Ketua Masyarakat Orang Asli, Pandak Panjang Ey agar mereka diberi kebebasan untuk berkempen dalam kelompok masyarakat mereka sendiri.

Menurut beliau, PAS tidak memandang kecil kuasa undi dari masyarakat Orang Asli dan ia juga merupakan undi utama di Dun Galas.

Tiada ulasan: