Rabu, 27 Oktober 2010

Galas: Calon PAS harap keajaiban 2008 berulang 4 Nov


GUA MUSANG — Calon PAS Dr Zulkefli Mohamad berharap keajaiban beliau memperoleh undi terbanyak dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya umum 2008 akan berulang 4 November ini.

Pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang ini sebelum ini bertanding kerusi Parlimen Gua Musang menentang Tengku Razaleigh Hamzah tetapi tewas.

Namun Zulkefli memenangi undi terbanyak dari Galas dengan 317 undi.

“Pada 2008 PAS berjaya mengatasi Barisan Nasional (BN) dalam undi Parlimen di DUN Galas.

“Saya tidak sangka akan menang di Galas pada pilihan raya umum lalu, malah pihak parti juga terkejut.

“Saya mengharapkan keputusan itu akan berulang kembali dan kita akan meningkatkan kempen untuk memastikan PAS menang di sini,” kata Zulkefli kepada pemberita di Markas Pilihan Raya Kecil PAS DUN Galas di sini.

PAS merampas kerusi itu buat julung kali pada 8 Mac 2008 menerusi Che Hashim Sulaima yang meninggal dunia bulan lalu.

Menurutnya, pengundi perlu memberikan kemenangan kepada PAS supaya agenda dan rancangan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Jika pengundi memilih saya, saya akan memastikan rancangan dilaksanakan dengan lebih rancak di sini.

“Apa sahaja agenda kerajaan akan saya laksanakan dan saya harap dapat melakukannya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tertekan dengan situasi pilihan raya kecil kali ini, Zulkefli bagaimanapun menegaskan beliau tidak tertekan.

“Sebagai seorang calon yang pernah beberapa kali bertanding dalam pilihan raya, saya rasa tiada apa-apa perbezaan.

“Bagi saya tiada tekanan langsung,” katanya.

Pengamal perubatan itu juga menegaskan walaupun BN melantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya BN, namun ia tidak memberikan apa-apa kesan terhadap dirinya.

“Saya lawan dengan BN bukan Tengku Razaleigh. Malah hubungan saya dengan beliau juga baik.

“Saya hormati beliau sebagai seorang tokoh pemimpin yang lama, terkenal dan banyak berjasa kepada negara,” katanya.

Zulkefli juga percaya sokongan masyarakat Cina terhadap PAS akan meningkat berdasarkan daripada kemenangan beliau pada pilihan raya umum lalu.

“Sambutan masyarakat Cina amat menggalakkan dan saya harap ia akan meningkat sehingga hari pengundian nanti,” katanya.

Mengenai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad lalu. Zulkefli mendakwa kerajaan persekutuan telah melangkaui pelaksanaan daripada kerajaan negeri Kelantan semata-mata untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat.

“Sebenarnya projek PPR ini masih dalam perancangan antara kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) tapi nampaknya kerajaan persekutuan telah mendahuluinya.

“Dalam perbincangan ini kerajaan negeri akan menyediakan tapak untuk projek tersebut manakala Kesedar akan membiayai segala kos pembangunannya. Projek ini tidak dapat dilakukan tanpa persetujuan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri tidak menolak projek tersebut tapi ikutlah saluran yang sepatutnya. Saya mellihat ia strategi BN untuk mendapatkan sokongan pengundi di sini apabila mengumumkan perkara itu,” katanya.

Kerajaan pusat memperuntukkan RM180 juta untuk membina 1,500 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 10,000 rakyat miskin di kawasan itu.

Projek 18 blok rumah pangsa lima tingkat yang pertama seumpama itu di Kelantan adalah untuk diagih kepada pelbagai kaum golongan berpendapatan rendah dan miskin di kawasan itu.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Tiada ulasan: