Jumaat, 22 Oktober 2010

Fitnah: Bekas setiausaha Umno Lipis diarah bayar Adun RM250,000

BERNAMA


Datuk Abdul Rahman Mohamad (kanan) memeluk salah seorang sahabat sejurus keluar daripada mahkamah setelah memenangi kes tuntutan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini. – Foto Bernama
TEMERLOH – Mahkamah Tinggi Temerloh di sini hari ini memerintahkan bekas Setiausaha Umno Lipis, Zulkifli Othman membayar ganti rugi RM250,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed kerana memfitnahnya dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir membacakan keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi dan dokumen di mana terdapat unsur-unsur fitnah dalam perkataan yang diungkap oleh Zulkifli.

Zulkifli, 54, didakwa memfitnah Abdul Rahman, 48, dengan membuat surat akuan bersumpah serta mengedarkannya menjelang pemilihan Umno Bahagian Lipis pada 2008 dengan mendakwa Abdul Rahman suka berfoya-foya dengan niat mencalarkan imej Abdul Rahman yang ketika itu bertanding jawatan Ketua Umno bahagian berkenaan.

Zulkifli sebelum ini diberikan tempoh 14 hari memohon maaf kepada Abdul Rahman tetapi enggan berbuat demikian.

Kes berkenaan kemudiannya difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 3 Mac 2009.

Akhtar memerintahkan Zulkifli membayar RM250,000 merangkumi ganti rugi am, teladan dan teruk serta faedah lapan peratus dari tarikh keputusan hingga selesai dan kos mahkamah RM10,000.

Abdul Rahman diwakili Ahmad Nizam Hamid manakala Zulkifli diwakili Abdul Majid Md Yusof.

Tiada ulasan: