Ahad, 17 Oktober 2010

Exco: Pusat lulus tarif air Kedah, bukannya kerajaan negeri

THE MALAYSIAN INSIDER

PENANTI — Exco Negeri Kedah Datuk Ir. Amiruddin Hamzah menyelar Umno dengan mendakwa parti itu memanipulasikan kenaikan tarif air di negeri tersebut sebagai isu politik bagi mencetuskan kebencian rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Sehubungan itu menurut beliau, kerajaan negeri tiada kuasa untuk meluluskan sebarang kenaikan tarif air kerana ia telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air- Negeri Kedah) 2010.

Oleh itu kata beliau, dakwaan Umno Kedah bahawa kerajaan negeri dengan sengaja menaikkan tarif air dan mendakwa ia sebagai satu tekanan ekonomi ke atas rakyat adalah satu fitnah besar dan tidak benar sama sekali.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim telah mendesak supaya penduduk negeri ini memboikot pembayaran bil air sebagai tanda protes dan ia merupakan tindakan terdesak Umno.

“Usaha ini juga adalah satu tindakan yang tidak bermoral serta boleh disabitkan dengan tuduhan menghasut.

“Mereka boleh menzahirkan rasa tidak puas hati, tetapi bukannya memboikot kerana ia adalah bertentangan undang-undang digubal Kerajaan Pusat, “ tegasnya.

Kira-kira 30 anggota PAS mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Kedah bagi membantah kenaikan tarif air di negeri ini beberapa hari lalu.

Mereka turut menghantar satu memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Amiruddin yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah menambah, kenaikan tarif air di Kedah yang telah diumumkan oleh Ketua Eksekutif Syarikat Bekalan Air Darulaman (SADA), Datuk Adzmi Din pada 29 September lalu adalah bagi menanggung kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air yang semakin meningkat.

“Tarif air yang ada sekarang di negeri ini merupakan tarif dan pelarasan yang telah berkuat kuasa sejak 1 Mac 1993 lalu. Sepanjang tempoh 17 tahun lalu, tiada semakan semula yang dibuat.

“Mulai tarikh tersebut sehinggalah kepada 30 September 2010 harga satu meter padu air di negeri ini ialah 40 sen.

“Ia juga merupakan harga air yang kedua terendah di negara ini selepas Pulau Pinang manakala harga semeter air padu di Pulau Pinang adalah 30 sen sedangkan Perlis pula adalah tempat ketiga dengan harga 48 sen semeter air padu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah anjuran PAS kawasan Permatang Pauh di sini semalam.

Sebelum ini, Azizan telah memaklumkan bahawa terdapat beberapa penyelewengan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dalam isu yang membabitkan air di Kedah.

Antara penyelewengan yang didakwa berlaku ialah kos pembinaan loji pembersihan air di Lubuk Buntar dan Padang Sanai.

Di Lubuk Buntar kos pembinaan bagi loji pembersihan air hanyalah sekitar antara RM25 juta hingga RM30 juta tetapi apa yang dicatatkan adalah RM65 juta dan ini menimbulkan keraguan apabila kosnya berlipat ganda.

Di Padang Sanai pula, kos pembinaan bagi loji pembersihan di sana dianggarkan sekitar RM50 juta hingga RM60 juta sahaja tetapi kos yang dicatatkan melambung begitu tinggi sehingga RM155 juta.

Bagaimanapun Setiausaha Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad menafikan berlakunya penyelewengan seperti didakwa kerajaan negeri.

Beliau juga mencabar kerajaan negeri supaya membongkar penyelewengan ini dengan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar seperti yang didakwa.

Menyahut cabaran ini maka pada 11 Oktober lalu, Dewan Pemuda PAS Kedah yang diketuai oleh Ketuanya, Ahmad Yahya telah membuat laporan kepada SPRM supaya suatu siasatan terperinci dilakukan terhadap dakwaan berlakunya penyelewengan dalam isu kos pembinaan loji air tersebut.

Pada 29 September lalu, tarif air di Kedah akan dinaikkan sebanyak 1.6 peratus mulai 1 Oktober bagi menampung kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Darulaman (Sada) Datuk Adzmi Din berkata tarif air yang diguna pakai sekarang merupakan tarif dan pelarasan yang berkuat kuasa pada 1 Mac 1993 dan sepanjang 17 tahun itu semakan semula

tarif air di Kedah tidak pernah dibuat.

“Semakan dan pelarasan ini tidak dapat dielakkan memandangkan kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air meningkat dari semasa ke semasa,” katanya dalam laman web Warta Kedah hari ini.

Kata beliau, secara keseluruhannya purata kenaikan caj kepada pengguna domestik adalah sekitar 27 peratus dan nilainya antara RM3 hingga RM8 melibatkan 457,707 akaun sehingga Ogos tahun ini.

Beliau berkata ini adalah ekoran peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan disebabkan oleh beberapa faktor seperti pertambahan bilangan pengguna, penggunaan air dan kenaikan harga bahan kimia.

“Faktor lain yang menyebabkan pengurusan bekalan air meningkat adalah kerana kenaikan tarif bekalan elektrik. Justeru Sada tidak dapat mengelak daripada melakukan semakan dan pelarasan tarif baru dan Kedah bukan bersendirian melakukan pelarasan ini,” katanya.

Tiada ulasan: