Sabtu, 9 Oktober 2010

ETP Satu Lagi Program Najib Yang Bakal Gagal

Oleh Suara Keadilan

lks1SHAH ALAM - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan baru-baru ini hanya kaya di segi retorik sahaja dengan menggunakan slogan yang muluk dan strategi perhubungan awam yang licik bagi mengaburi mata rakyat bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional sedang menangani masalah dan cabaran ekonomi yang dihadapi negara.

Sama seperti slogan 1Malaysia dan Rancangan Malaysia Ke-10, ETP juga dimuat dengan unjuran yang tidak realisitk mengenai prospek perkembangan ekonomi dengan menggunakan istilah-istilah dalam buku ekonomi bagi menampakkan seolah-olah kerajaan mengkaji semula dasar ekonomi sediada.

Untuk mengelirukan lagi rakyat ditambah pula dengan abreviasi yang memeningkan seperti KPI, NKRA, MKRA, NKEA, EPP dan BIZ Ops.

"Nampaknya kerajaan Umno-BN telah menggantikan dasar yang mapan dengan pendekatan yang diceduk dari dunia korporat. Mungkin ini sesuai dalam sektor perniagaan tetapi kerajaan bukan entiti korporat, ia bertanggungjawab kepada rakyat dan tidak harus dipandu oleh motif keuntungan.

"Konsep yang terkandung dalam ETP tidak mampu dihadam dan difahami oleh rakyat biasa. Rakyat dibuai dengan ucapan yang mengasyikkan dengan persembahan grafik yang berwarna-warni tetapi semuanya ini amat mengelirukan bukan mencerahkan pemikiran," kata Kit Siang dalam komentarnya mengenai ETP.

Malah kata beliau lagi setiap kali kerajaan mengumumkan dasar atau program baru akan terserlahlah ketidak upayaan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengatasi penyelewengan dasar yang menyebabkan negara terperangkap dalam kumpulan ekonomi berpendapatan sederhana.

ETP mengakui peranan penting yang dimainkan oleh sektor swasta dalam usaha Malaysia mencapai pendapatan per kapita dua angka menjelang tahun 2020 dengan menyokong perkembangan ekonomi berterusan sebanyak enam peratus setahun.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala yang melancarkan ETP September lalu bagi mencapai matlamat ini, firma swasta akan melabur sebanyak US$266 bilion (60%), syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak US$144 bilion (32%) dan sektor awam US$34 bilion (8%), menjadikan jumlah US$444 bilion.

"Andaian hanya merupakan andaian bukannya unjuran serta langsung tidak realistik berdasarkan aliran kadar pertumbuhan yang dicapai negara sejak satu setengah dekad lalu dan kemasukan negatif pelaburan langsung asing (FDI) berbanding aliran modal keluar.

"Andaian yang dibuat juga kelihatan seolah-olah sektor swasta akan melakukan perubahan drastik tanpa peranan kerajaan. Anjakan ini tidak mungkin berlaku selagi kerajaan masih mengekalkan kerangka dasar yang dicanangkan oleh kumpulan seperti Perkasa dan sekutu-sekutunya," tegas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Jelas beliau kerajaan tidak menerangkan dari sumber mana datangnya pelaburan sebanyak USD444 bilion bilamana FDI negara teris merosot.

Malah kini bertambah jelas Model Ekonomi Baru yang diwar-warkan Najib semakin gagal dan hilang halatujunya ujar beliau.

"Satu faktor genting yang tidak diambil kira dalam ETP ialah perubahan dalam dasar sediada bagi menangani gejala rasuah, meningkatkan persaingan dan ketelusan dalam proses perolehan, pengenalan program keselamatan sosial, merasionalisasi dasar pasaran buruh termasuk perlaksaan dasar gaji minima dan pemansuhan dasar anti-persaingan seperti AP.

"Kegagalan untuk menangani isu reformasi cukai merupakan satu lagi kelemahan program pembaharuan yang rapi dan berintegrasi, suatu keperluan untuk sektor swasta berfungsi dengan berkesan," kata Kit Siang lagi.

Tiada ulasan: